"Martinelli bakal menjadi seorang bintang. Bukan kerana jaringannya tetapi perwatakan, tenaga dan mentalitinya," kata Pierre-Emerick Aubameyang (Metro.co.uk).

Kapten Arsenal itu merupakan salah seorang yang memuji Gabriel Martinelli, yang mendapat tempat di hati peminat dan juga para pemain Gunners selepas menunjukkan prestasi cemerlang untuk kelab bola sepak itu.

Bagaimanapun, siapa dia sebenarnya dan bolehkah dia menjadi salah seorang pemain bola sepak terbaik pada masa depan?

Martinelli memulakan kerjaya bola sepaknya dengan pasukan futsal Corinthians pada tahun 2010. Selepas beberapa tahun berjaya dalam arena futsal, dia berpindah ke Ituano FC, sebuah kelab bola sepak yang bertapak di kampung halamannya di Sao Paolo.

Di kelab itu, dia menandatangani kontrak profesional pertamanya semasa berusia 16 tahun. Walaupun hanya bermain dalam divisyen keempat Brazil, pemain muda itu menarik minat pencungkil bakat Eropah dan seterusnya melalui empat perlawanan percubaan untuk Manchester United.

Namun, prestasinya tidak begitu bagus bagi mereka. Akhirnya, Arsenal mengambil peluang ini dan menandatangani kontrak bernilai GBP6 juta (RM31 juta) untuk mengambilnya bermain. Satu lagi faktor penting dalam pengambilan Martinelli adalah pasport Itali yang dimilikinya disebabkan ayahnya yang berbangsa Itali.

Pengambilannya sebagai pemain membawa kejayaan yang besar. Walaupun tidak bermain sejurus selepas menandatangani kontrak, perlawanan pertama pemain penyerang itu adalah dalam Liga Europa (UEL), yang mana dia menjaringkan dua gol dan membantu menjaringkan satu gol menentang Standard Liege.

Sejak itu, pemain berusia 18 tahun itu sering menjadi pilihan. Dalam 21 perlawanannya, dia terlibat dalam penjaringan 13 gol walaupun tempoh bermainnya hanya 1,120 minit.

Detik terbaiknya setakat ini? Serangan solo dahsyat semasa menyerang balas di Stamford Bridge, yang mana Martinelli memberikan penyudah berbisa.

Serangan solo tersebut menunjukkan tiga kekuatan utamanya -- ketenangannya apabila berada di depan gawang gol, rentak permainannya yang laju dan kemahiran menggeleceknya yang hebat.

Pemain kelahiran Brazil itu mungkin bukan pemain sayap paling bergaya atau paling mahir yang anda pernah lihat tapi tindakannya sangat berkesan dan memandangkan umurnya masih muda, masih banyak lagi yang boleh dipertingkatkan.

Sebagai kesimpulan, pemain muda Arsenal itu kelihatan mempunyai segala-galanya untuk menjadi pemain penting di kelab itu.

Martinelli mempunyai semua ciri pemain penyerang yang diperlukan untuk Liga Perdana Inggeris (EPL) -- kepantasan, pemilihan kedudukan, ketenangan dan ciri fizikalnya yang padu, yang mana membantu dia mengharungi liga yang sukar itu.

Jika dia meningkatkan kreativitinya dan penghantaran bola yang tepat, pemain sayap itu boleh menjadi salah seorang pemain bintang. Satu lagi perkara yang boleh membantu kerjayanya adalah kecekapannya dalam perlawanan dan situasi yang penting.

Ciri ini bukan saja boleh dilihat dalam perlawanan antara kelab-kelab di London, malah dalam dua liga tersebut, pemain muda itu menjaringkan gol pertama untuk Arsenal.

Melihatkan persembahannya setakat ini, Martinelli layak untuk dibandingkan dengan salah seorang pemain legenda Gunners -- Thierry Henry.

Walaupun memang banyak kemahiran yang perlu dibaikinya untuk sampai ke tahap itu, pemain kelahiran Brazil itu mempunyai banyak potensi seperti yang dikatakan Aubameyang, Martinelli mempunyai sikap, tenaga dan penetapan minda yang betul.