Luke Shaw, pemain yang sering diperlekehkan Jose Mourinho ketika bersama Manchester United, memang sudah lama memendam rasa.

Segala yang dilakukannya serba tak kena pada penilaian pengurus berbangsa Portugis itu sehinggalah dia memilih detik terbaik awal pagi semalam untuk menterbalikkan keadaan.

Bek kiri itu melakukan dua bantuan jaringan yang cemerlang buat Harry Maguire dan Harry Kane – dengan lintangannya ke kepala Maguire rata-rata dianggap cukup sempurna – untuk England unggul 4-0 ke atas Ukraine dalam pertembungan suku akhir Euro 2020 di Stadio Olimpico, Rome.

Ia kemudian disusulinya dengan satu lagi lambungan untuk Kane menanduk rendah menewaskan penjaga gol, Heorhiy Bushchan, untuk Shaw diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan pada penghujungnya.

Mujur juga pengurus England, Gareth Southgate, tidak mudah termakan dengan penilaian Mourinho yang sebelum itu menggelar sepakan sudut Shaw ‘durjana’ di samping mengungkapkan: “Bagi saya, dia bukanlah pemain untuk mengambil sepakan ketika ‘set piece’ atau berada dalam kotak untuk memenangi perebutan di udara.”

Betapa Mourinho sebenarnya tersilap – sebagaimana dia kerap silap hingga membawa kepada pemecatannya daripada United pada 18 Disember 2018, disusuli pemecatannya daripada Tottenham pula pada 19 April lalu.

Di mana Mourinho dua kali harus angkat bungkus dalam tempoh 17 bulan, Shaw pula beransur-ansur meningkatkan keyakinan untuk meraih semula tempatnya di bawah pengawasan Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford di samping tetap bernilai di mata Southgate.



Legenda England, Rio Ferdinand, Frank Lampard dan Alan Shearer, sebaliknya, hanya dapat menghamburkan pujian buat pemain berusia 25 tahun itu sambil bersepakat bahawa pertunjukannya ketika berdepan Ukraine adalah berkelas dunia.

“Ia berkisar kepada pelaksanaan daripada ‘set piece’ dan pada saat-saat genting dalam perlawanan,” kata Ferdinand kepada laman manutd.com.

“Kini dia sedang menyerlahkan potensi sebenar seperti yang kita dapat lihat daripadanya.”

Lampard menambah: “Dia cemerlang di pentas terbesar. Ada sesuatu yang serba menjadi buatnya sepanjang 18 bulan lalu (selepas Mourinho dipecat). Menyaksikannya kini, anda berperasaan dia seperti mesin dan anda boleh dapat apa saja daripadanya.”

Kepada bekas penyerang England, Shearer, kebangkitan Shaw sekadar menyerlahkan peri pentingnya kepercayaan.

“Ia berkisar kepada mendapat kepercayaan sepatutnya. Jika anda bermain teruk dalam satu perlawanan, ia bukanlah penamat segala-galanya. Anda mungkin teruk dalam satu perlawanan tapi pengurus terus menaruh keyakinan terhadap anda.

“Itulah yang didapatinya sekarang… bersama kelab dan pasukan kebangsaan,” ujar Shearer.

Shaw kini sudah melakukan tiga bantuan jaringan dalam Euro 2020 – satu di belakang pemain Switzerland, Steven Zuber, yang sudah pun tersingkir daripada kejohanan.

++++

Dengan England akan berdepan Denmark dalam separuh akhir di Stadium Wembley, awal pagi Khamis ini, harus Shaw perlu terus diingatkan terhadap komen pedas Mourinho bagi membakar semangatnya untuk satu lagi pertunjukan cemerlang.

“Saya benar-benar tidak faham,” katanya terhadap ulasan Mourinho itu sambil mempertahankan bahawa ‘set piece’ membabitkannya dalam perlawanan peringkat kumpulan menentang Scotland dan Republic Czech tidaklah seburuk yang digambarkan.

“Saya tak tahu kenapa dia (Mourinho) mahu terus menuding jari kepada saya. Mungkin salah satu sepakan sudut saya gagal melepasi pemain pertama tapi ada dua atau tiga yang lain yang tidak seburuk dikatakan.

“Biarlah, dia ada kerja yang hendak dibuat. Saya sudah biasa dengan komen negatifnya, jadi saya tidak terkesan pun.

“Dia boleh cakap apa yang dia mahu, saya akan fokus kepada diri sendiri. Saya ambil ‘set-piece’ di United, jadi ia bukanlah sesuatu yang saya tidak bersedia untuknya,” katanya lagi seperti dipetik akhbar Daily Mail.

Seperkara adalah pasti – Mourinho akan menanti perlawanan awal pagi Khamis ini untuk komen lanjutnya, sama seperti Shaw mahu terus membuktikan bekas pengurusnya itu terus tersilap.