Shah Firdaus Sahrom bakal menjadi sandaran Malaysia untuk menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Perancis, Oktober depan.

Begitupun, ketua jurulatih negara, John Beasley, mendedahkan bahawa Datuk Azizulhasni Awang tidak akan terpilih atas dasar memberinya ruang untuk berehat selepas memenangi pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, Ahad lalu.

"Sudah pasti yang pertama yang muncul sebagai pilihan saya ialah Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Zonis. Ia juga bergantung kepada berapa banyak slot yang diberikan kepada Malaysia.

"Saya berminat untuk membawa beberapa pelumba muda.

"Saya akan merehatkan Azizul untuk meluangkan masanya di Malaysia.

"Saya meletakkan harapan tinggi terhadap Shah Firdaus. Saya percaya dia mempunyai kemampuan untuk menjadi pemecut terbaik dan dalam keirin. Dia telah membuktikannya sedikit dalam Sukan Olimpik, tapi dia masih belajar dan mula mempercayai diri sendiri," katanya.





Dengan beberapa nama besar juga tidak akan terlibat dalam kejohanan di Paris itu kelak, pengendali dari Australia tersebut tidak melihat ia sebagai peluang untuk bergelar juara dunia semata-mata.

Malah, dia menagih anak buahnya sentiasa berani mencabar pelumba utama dunia bagi menguji kemampuan sebenar mereka.

"Kami mahu jadi yang terhebat dalam kalangan terbaik. Kami lagi suka berlumba dengan nama handalan jadi kami mungkin perlu menunggu hingga tahun depan," katanya lagi.

Selain itu, Beasley mendedahkan pelumba wanita negara, Anis Amira Rosidi, bersama beberapa rakan sepasukannya sedang mengikuti perlumbaan di Colombia bagi menimba pengalaman beraksi di peringkat lebih besar.