Diam tak diam, aksi Liga Super akan memasuki perlawanan ketiga minggu ini.

Dua perlawanan awal jelas berlangsung rancak apabila berlaku beberapa kejutan dan keputusan menarik. Tetapi, masih awal untuk meramalkan peluang dan kehebatan setiap pasukan.

Minggu ini, penulis agak tertarik dengan dua perlawanan membabitkan PKNS FC menentang Selangor di Stadium Shah Alam dan Felda United bertemu Kedah di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Ini kerana wujud beberapa faktor yang tampak menghangatkan lagi dua pertemuan itu.

PKNS FC lawan Selangor dianggap pertemuan adik beradik atau pertembungan musuh setempat tetapi daripada pandangan penulis ia lebih kepada perhitungan bermaruah.

Ini susulan isu di luar padang membabitkan kedua-dua pasukan sebelum sepak mula Liga Malaysia Januari lalu sehingga Selangor hilang 'kawasan' mereka sendiri.

Stadium Shah Alam yang cukup sinonim dengan Gergasi Merah Kuning kini bukan lagi venue tuan rumah pasukan yang kaya dengan sejarah bola sepak tanahair itu.

Ia sebaliknya menjadi gelanggang tuan rumah bagi PKNS FC, lawan yang akan ditentang pada Sabtu.

Memang agak janggal apabila stadium yang dahulunya menjadi gelanggang keramat Selangor kini sudah menjadi 'home ground' pasukan lain.

Di Jengka pula, tumpuan bakal terarah kepada pemain yang bernama Rizal Ghazali. Pertahanan negara itu jadi rebutan antara Kedah dan Felda United walaupun Rizal atau nama samarannya Jai sudahpun beraksi untuk Lang Merah musim ini.

Adakah Rizal akan diturunkan? Ia memang satu persoalan besar kerana sudah pasti ia akan menguji kekuatan mental pertahanan itu untuk berhadapan dengan individu-individu di bangku simpanan dan tempat duduk kenamaan di stadium itu.

Justeru, kemenangan amat penting buat mana-mana pasukan kerana ia bukan sahaja kemenangan untuk kutipan mata tetapi ia bakal menjadi satu kemenangan bermaruah.

Shah Alam kawasan siapa? Rizal siapa punya? sama-sama kita nantikan.