Acara mingguan WWE Raw yang berlangsung semalam bertukar kecoh seketika apabila seorang penonton bertindak nekad dengan menyerang Seth Rollins di arena Barclays Center di Brooklyn, New York.

Serangan tanpa disangka itu berlaku pasca Rollins selesai menjalani segmen promonya di tengah gelanggang. Rollins seperti biasa dengan angkuh membangkitkan kemenangan bergayanya sebagai peserta tunggal atau sole survivor di dalam perlawanan tradisi Survivor Series 5 lawan 5 di antara bintang Raw dan Smackdown pada Isnin lalu.

Ketika sedang mendabik dada berbangga dengan kejayaannya itu, Finn Balor muncul untuk menghentikan perilaku Rollins, namun diserang oleh Rollins sebelum bekas Juara WWE itu meninggalkan gelanggang.

Semasa dalam perjalanan ke belakang tabir, seorang penonton secara tiba-tiba melompat besi penghadang di tempat duduk penonton selajur menyerang hendap Rollins sehingga menyebabkan The Architect terjatuh dan terpaksa bergelut dengan penonton tersebut untuk melepaskan diri. Mujur pengadil, sekuriti dan para pegawai WWE bertindak pantas meleraikan mereka sekali gus menahan penonton itu untuk tindakan lanjut.

Pihak WWE dalam kenyataan rasmi mereka menyebut yang pihak syarikat amat menitikberatkan keselamatan para bintang mereka. Pelaku yang menyerang Seth Rollins telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk ditahan dan menerima hukuman sewajarnya atas tindakan tersebut.

Pihak polis New York telah menahan penonton bernama Elisah Spencer berusia 24 tahun itu dengan dakwaan melakukan serangan fizikal dan melanggar peraturan sebagai penonton di acara persembahan umum.

Akibat insiden ini, Rollins telah mengalami bengkak di bibirnya. Namun enggan menerima rawatan lanjut dan meneruskan aksinya di Raw seperti biasa.

Kali terakhir serangan seumpama ini berlaku adalah ketika acara penganugerahan Hall Of Fame WWE pada tahun 2019 apabila seorang penonton tanpa sebab yang jelas bertindak menyerang bintang legenda Bret “The Hitman” Hart ketika bintang berusia 64 tahun itu sedang memberikan ucapan.

Penonton tersebut diberkas, menerima hukuman dan terus disenaraihitamkan daripada menghadiri mana-mana acara WWE selepas itu.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.