Liverpool yang dibimbing Jurgen Klopp terus dikritik oleh peminat bola sepak gara-gara persembahan kurang menyakinkan dalam setiap perlawanan. Kritikan itu hadir atas dasar kurangnya persefahaman di antara pemain terutama sekali di jentera pertahanan.

Ada laporan media antarabangsa melaporkan Liverpool memiliki jentera serangan yang baik untuk saingan liga musim ini,dan penulis agak bersetuju biar pun merasakan masih banyak yang perlu dilakukan oleh The Reds.

Mereka di barisi senarai nama-nama besar di jentera serangan seperti Daniel Sturridge, Philippe Coutinho, Roberto Firminho, Sadio Mane selain Dominic Solanke yang dilihat sepatutnya mampu memacu The Reds dalam mencari jaringan di setiap perlawanan. Namun penulis merasakan seperti ada kekurangan sesuatu dan penulis berpendapat kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa Liverpool sebenarnya memerlukan seorang penyerang prolifik seperti Robbie Fowler, Michael Owen, Fernando Torres mahupun Luiz Suarez yang mampu menghadirkan rasa gerun pihak lawan.

Di bahagian pertahanan pula, peminat The Reds pasti risau memikirkan bagaimana setiap pemain perlu berusaha keras bagi memastikan mereka tidak dibolosi dengan gol mudah.

Masalah pertahanan dilihat menjadi kekurangan utama bagi Liverpool musim ini dan ianya amat menggusarkan seperti yang kita saksikan malam tadi bertemu Newcastle United di St James Park, mereka sekadar berjaya seri dan dibolosi akibat kesilapan barisan pertahanan.

Ini kerana barisan pertahanan sering memounyai salah faham antara satu sama lain yang akhirnya membawa padah. Perlawanan yang boleh menang, mereka seri, perlawanan yang sepatutnya seri, berakhir dengan kekalahan. Lebih merisaukan lagi kenyataan Klopp kepada pihak media selepas perlawanan malam tadi, beliau berkata akan mengekalkan corak permainan sama.

Penulis percaya pasti ramai penyokong Liverpool yang bersetuju dengan kenyataan penulis mengenai benteng pertahanan mereka. Biarpun menduduki tangga keenam, namun 11 mata dalam enam perlawanan bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, apatah lagi mereka bolos 11 kali biarpun meledakkan 12 jaringan gol. Sesuatu perlu segera dilakukan Jurgen Klopp andai mereka mahu menjadi pencabar utama di liga, dan juga bersaing di peringkat liga juara-juara Eropah.