Misi untuk muncul sebagai 3 pasukan terbaik di kejohanan ini diramalkan sukar apabila diundi bersama pasukan gergasi, Australia, Thailand dan Korea Selatan dalam kumpulan B, namun bukan menang atau kalah yang menjadi tumpuan semata-mata.

Setakat ini, Malaysia boleh berbangga kerana barisan muda yang diturunkan dengan rata-ratanya baru kali pertama didedahkan kepada kejohanan antarabangsa, berjaya mencatat keputusan 1-7 menentang Australia.

Menerusi perbualan penulis dengan pengurus pasukan Floorball negara, Mohd Hafidz Zainal Abidin, semua ini dilakukan untuk perancangan jangka panjang dimana sebagai sebuah pasukan yang baru berusia setahun jagung, mereka mahu terus memperbaiki pencapaian selepas penampilan kali pertama dalam kejohanan yang mempertandingkan pingat, Malaysia meraih gangsa di Sukan SEA Singapura tahun lalu.

Walaupun masa depan Floorball pada temasya di Kuala Lumpur pada 2017 masih samar, skuad Floorball negara sudah pasang misi untuk muncul selaku pencabar pada edisi ke-30 yang akan diadakan di Thailand pada 2019 dimana negara gajah putih itu sudah pasti menyenaraikan sukan yang menjadi antara kekuatan mereka.

Di kesempatan ini, penulis mahu mengucapkan selamat berjaya kepada skuad Floorball negara yang sedang bertarung untuk aksi peringkat kumpulan.

Biarlah nama Malaysia yang dibawa sentiasa harum dan pulanglah dengan bermaruah agar kejayaan akan memihak kita suatu hari nanti.