Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pentadbir Liga M, Malaysian Football League (MFL) dijangka akan membuat permohonan semula kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan 'lampu hijau' untuk saingan domestik tempatan bersambung kembali September depan.

Saingan Liga Super, Perdana, M3 serta semua pertandingan bawah umur (Piala Belia dan Presiden) tertangguh sejak Mac lalu gara-gara pandemik Covid-19.

Sudah pasti keselamatan pemain serta pegawai setiap pasukan adalah keutamaan semua pihak ketika ini.

Bagi penulis, saigan Liga M wajar disambung semula dengan syarat terdapat garis panduan tertentu yang wajib diterapkan.

Contoh terbaik ialah saingan Bundesliga Jerman yang kembali bersambung minggu lalu.

Setiap pasukan mengikut garis panduan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) dan pengurusan Bundesliga.

Antara syarat yang ditetapkan, pemain di bangku simpanan wajib memakai topeng muka, tidak bersalaman antara pemain kedua-dua pasukan serta pengadil sebelum dan selepas perlawanan.

Setiap pasukan juga dibenarkan lima pertukaran pemain seperti yang diwajibkan badan bola sepak dunia, FIFA untuk saingan liga yang kembali bersambung.

Setiap perlawanan juga berlangsung tanpa kehadiran penonton bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di dalam stadium.

Bagi penulis, ia juga penting buat saingan Liga M dimulakan semula kerana pemain-pemain yang terbabit dengan skuad kebangsaan perlu aksi kompetitif.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan FAM dan MFL sudah menyediakan garis panduan jika Liga M mendapat kebenaran untuk bersambung semula.

“Memang kami ada garis panduan yang perlu diikuti oleh setiap pasukan dalam saingan Liga M".

“Kami berhubung rapat dengan MKN dan juga Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) bagi memastikan saingan Liga M dapat berjalan lancar jika ia dapat disambung kembali pada September".

“Tetapi sudah pasti setiap kelab juga perlu memainkan peranan penting sebelum kembali memulakan latihan".

“Setiap pasukan wajar melakukan ujian saringan Covid-19 dua minggu sebelum mereka kembali melakukan latihan,” kata Stuart ketika dihubungi penulis baru-baru ini.

Perlu diingatkan, skuad Harimau Malaya
kendalian Tan Cheng Hoe bakal menghadapi tiga aksi getir kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai 8 Oktober, Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, 13 Oktober dan berdepan Thailand di Bangkok pada 17 November.

Kedudukan terkini menyaksikan Malaysia berada di tanga kedua Kumpulan Kelayakan G dengan sembilan mata, hanya dua mata di belakang pendahulu Vietnam.

Stuart sedar ini adalah peluang terbaik buat skuad negara melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia serta pusingan akhir Piala Asia secara merit.

“Selaku badan pentadbir bola sepak Malaysia, sudah pasti FAM akan melakukan usaha terbaik untuk memastikan saingan liga bersambung demi kebaikan skuad negara".

“Tetapi kita perlu menghormati apa saja kata putus MKN kerana, keutamaan sudah pasti keselamatan pemain dan pegawai pasukan jika saingan Liga M kembali bersambung,” kata Stuart.