Sepanyol berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Euro 2020 tetapi adakah kemaraannya sekadar disebabkan tuah semata-mata?

La Furia Roja, The Red Fury, Keganasan Merah, begitulah julukan pasukan mereka, tetapi ganaskah mereka dalam pertandingan setakat ini?

Jika dilihat daripada segi kejituan hantaran bola dan semangat berpasukan, jawapannya adalah ya, mereka sememangnya ganas.

Statistik daripada laman sesawang uefa.com menyatakan bahawa Sepanyol telah menyudahkan sebanyak 3,856 hantaran dengan kejituan setinggi 89.4 peratus.

Namun, jika difokuskan kepada aspek barisan penyerang dan pertahanan mereka, keganasannya masih belum pasti.

Mari kita lihat aspek pertahanan terlebih dahulu.

Dalam lima perlawanan setakat ini, Sepanyol telah dibolosi sebanyak lima kali juga.

Ada waktunya pertahanan mereka kelihatan begitu ampuh, di mana gabungan pemain generasi baru seperti Eric Garcia mampu berkomunikasi dengan baik bersama bek veteran seperti Jordi Alba dan Cesar Azpilicueta.

Kedua-dua pemain bek kiri dan kanan yang disebutkan begitu berbahaya apabila melakukan larian ke kawasan lawan dan masing-masing telah memainkan peranan penting dalam membolosi gawang musuh.

Namun, kesilapan Unai Simon sewaktu menentang Croatia sehingga menyebabkan gol sendiri tidak mungkin dapat dilupakan dalam jangka masa terdekat.

Gol yang dijaringkan oleh Switzerland pada peringkat suku akhir yang lalu pula berpunca daripada kesilapan Pau Torres yang gagal mengawal bola dengan baik sehingga mencipta ruang untuk Xerdan Shaqiri melakukan rembatan mudah.

Aspek serangan Sepanyol pula lebih menarik lagi.

Biarpun Sepanyol adalah pasukan yang paling banyak membuat jaringan dengan 12 gol setakat ini, kebuntuan penyerang utama mereka mampu menjadi faktor kegagalan pada penghujung hari nanti.

Hakikatnya, biarpun dengan jumlah jaringan yang banyak, Sepanyol terpaksa mengharungi pusingan sepakan penalti untuk sipi-sipi mencatatkan kemenangan ke atas Switzerland, dan mereka nyaris-nyaris menggigit jari apabila bolos dua gol pada minit-minit akhir perlawanan sewaktu menentang Croatia.

Perlu diingatkan juga, gol tunggal yang dijaringkan Sepanyol pada peringkat suku akhir yang lepas adalah berpunca daripada kesilapan pemain pertahanan Switzerland, Denis Zakaria, yang tidak sengaja melantunkan bola ke gawang sendiri.

Dalam perlawanan menentang Poland, mereka hanya mampu menjaringkan satu gol manakala perlawanan menentang Sweden diingati sebagai perlawanan hantaran bola semata-mata tapi jaring tidak dijumpai.

Anak buah Luis Enrique mencatatkan 28 percubaan sewaktu menentang Switzerland, bukti betapa efisien pasukan mereka dalam mencipta peluang.

10 daripada 28 percubaan tersebut merupakan percubaan tepat ke sasaran, namun tidak semua boleh digelar sebagai percubaan berbahaya, kebanyakannya disambut dengan mudah oleh penjaga gol Switzerland, Yann Sommer.

Persoalan utamanya, mengapa begitu sukar sekali untuk Sepanyol membolosi gawang lawan pada detik-detik tertentu?

Tidak salah jika dikatakan bahawa puncanya adalah dua orang penyerang utama, Alvaro Morata dan Gerard Moreno.



Morata sememangnya sudah dikritik pedas sepanjang kejohanan ini kerana kegagalannya menyempurnakan pelbagai peluang baik yang dihidangkan manakala Moreno pula mensia-siakan enam peluang sewaktu menentang Switzerland.

Mujurlah untuk Sepanyol, pemain mereka yang lain mampu menggalas tanggungjawab untuk melakukan penyudah tajam yang sememangnya wajib hadir bagi mencapai kemenangan.

Setakat ini, enam pemain Sepanyol yang berbeza sudah mencatatkan nama sebagai penjaring.

Persoalan sama ada Sepanyol benar-benar berkebolehan ataupun sekadar bernasib baik akan terjawab sewaktu menentang Itali, pasukan yang hanya dibolosi dua kali setakat ini.

Apa yang pasti, jika kebuntuan barisan serangan tetap berterusan, harapan untuk Sepanyol terus mara tidaklah cerah.

Masih terbayang-bayang akan kegemilangan Sepanyol sewaktu diterajui oleh penyerang berstatus legenda seperti Raul, Fernando Torres dan David Villa, suatu masa dahulu.