Sepak takraw merupakan salah satu sukan yang cukup terkenal di negara-negara Asia. Sukan sepak takraw ini lebih dikenali sebagai sukan tradisi yang mana pada masa kini semakin menempah tempat di kalangan anak-anak muda. Umum mengetahui sukan ini dimonopoli oleh kaum Adam. Sebut sahaja sepak takraw, masyarakat akan berfikir bahawa sukan ini hanyalah khas untuk lelaki sahaja. Tidak dinafikan, negara kita cukup digeruni oleh negara-negara Asia kerana telah melahirkan ramai pemain-pemain yang hebat seperti Zabidi, Rehan Mat Din, Ahmad Jais dan ramai lagi. Namun, tahukah anda di sebalik sukan yang berseni ini terdapat satu pasukan wanita negara?

Sebagai seorang pemain yang pernah menyarung jersi kebangsaan, saya melihat skuad wanita negara kurang mendapat perhatian kerana kekurangan pendedahan seperti kejohanan mahaupun latihan dalam dan luar negara. Maka, tidak hairanlah persembahan yang ditunjukkan semasa kejohanan-kejohanan yang disertai kurang memuaskan dan sering mendapat kritikan negatif dari masyarakat terutamanya peminat sukan sepak takraw. Apabila kurangnya inisiatif seperti ini, pemain dan jurulatih sukar untuk mengukur prestasi masing-masing. Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, perbezaan yang paling ketara ialah dari segi corak permainan. Mutu permainan yang ditunjukkan oleh negara-negara lain agak baik dan kita jauh ketinggalan.



Ramai juga tidak mengetahui bahawa skuad wanita kebangsaan ini ditubuhkan pada tahun 2005. Sebaliknya, negara-negara lain telah lama wujudnya skuad wanita sepak takraw. Pada penampilan sulung skuad wanita terdahulu, mereka hanyalah pasukan yang berumur belasan tahun sahaja. Mereka pernah ditewaskan oleh pihak lawan dengan keputusan 21 berbalas 5. Namun ianya adalah sebagai batu loncatan dan tidak mematahkan semangat skuad wanita sepak takraw negara untuk berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh.

Pada pendapat saya, adalah lebih baik jika Persatuan Sepaktakraw Malaysia menggunakan khidmat jurulatih daripada luar negara contohnya, mengambil jurulatih daripada negara Thailand. Tidak bermaksud untuk merendahkan kebolehan jurulatih yang sedia ada, namun hakikatnya negara lain seperti Korea, Indonesia dan Filipin juga mengambil jurulatih daripada Thailand. Rata-rata corak permainan serta kepakaran yang ditunjukkan adalah mantap dan persembahan mereka semakin meningkat.



Mengapa saya mencadangkan perkara diatas adalah kerana, latihan yang dilakukan oleh jurulatih daripada Thailand lebih sistematik dan berkesan. Saya mengambil negeri Sabah sebagai contoh. Pasukan sepak takraw wanita Sabah merupakan salah satu negeri yang menggunakan khidmat jurulatih daripada Thailand semenjak tahun 2011 sehingga sekarang. Pada SUKMA Pahang 2012, Sabah adalah satu-satunya pasukan yang baru menghantar wakil dalam sukan sepak takraw wanita untuk menyertai temasya tersebut. Sedangkan, negeri-negeri lain telah lama berkecimpung dalam sukan ini. Walaupun demikian, pasukan Sabah tidak pulang dengan tangan kosong. Mereka berjaya mengondoli pingat gangsa.

Selain daripada aksi pemain-pemain sepak takraw wanita Sabah yang berjaya mendapat pingat pertama pada tahun 2012, prestasi mereka terus meningkat. Buktinya, pasukan ini berjaya meraih pingat emas bagi semua kategori selama tiga tahun berturut-turut dalam temasya SUKMA. Kejayaan itu adalah hasil usaha daripada jurulatih import Thailand yang melatih pemain-pemain ini. Sehingga kini, khidmatnya masih diperlukan untuk menghadapi SUKMA Johor akan datang.

Tidak ada yang perlu disangkalkan lagi. Benar lah bahawa perkhidmatan jurulatih import mampu membantu untuk meningkatkan prestasi atlet-atlet. Pihak yang berkenaan harus menitikberatkan perkara ini jika ingin memastikan skuad sepak takraw Malaysia berada pada standard yang betul. Usahlah ‘bagai enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing’. Ini adalah sebuah tanggungjawab.