“Kenapalah pada waktu ini…,” harus itu persoalan yang bermain-main di fikiran Pep Guardiola sejurus ayam tambatannya, Sergio Aguero, disahkan terkeluar di antara enam dan lapan minggu gara-gara patah tulang rusuk pada ketika Manchester City sedang bersemayam di singgahsana liga.

Penyerang antarabangsa Argentina itu terbabit dengan satu kemalangan dalam sebuah teksi di Amsterdam pada malam Khamis lalu dan terlepas peluang beraksi ketika The Sky Blues menundukkan Chelsea 1-0 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

“Mujurlah dia akan kembali dan beransur-ansur pulih secepat mungkin,” kata Guardiola dalam reaksi pertamanya berikutan kemalangan itu. “Tapi ia tetap satu masalah. Saya lebih gemar untuk bermain dengan (Benjamin) Mendy, (Vincent) Kompany dan Sergio Agüero.”

Aguero sudah menjaringkan enam gol untuk City dalam Liga Perdana – purata satu gol setiap 78 minit – dan telah melakukan tiga bantuan jaringan.

Khabar mengenai kecederaannya harus satu tamparan besar buat City, dengan Mendy turut tersisih beberapa bulan selepas menjalani pembedahan terhadap kecederaan lutut.

Hanya pada 9 September lalu, Aguero benar-benar menyerlah ketika memperbudakkan Liverpool 5-0 di Etihad hingga Guardiola menjulang gandingannya dengan Gabriel Jesus sebagai yang terbaik disaksikan dalam kancah EPL.

Aguero menyumbang satu gol manakala Jesus melakar gol berganda hanya buat kali ketiga kedua-dua penyerang itu dipadankan di barisan depan City musim ini.

Guardiola percaya bantuan jaringan Aguero kepada Jesus untuk gol ketiga City dalam perlawanan itu, ketika dia memutuskan untuk melorongkan umpanan di sebalik berpeluang menyudahkannya sendiri, membuktikan pasangan itu boleh terus menyerlah sebgai satu gandingan penyerang terbilang.

“Saya tidak memberitahu penyerang saya supaya mengumpan bola, saya katakan tolonglah jaringkan gol,” kata Guardiola. “(Tapi) ia sangat bermakna buat saya, apa yang Sergio lakukan.

“Kedua-duanya adalah penyerang yang bagus, luar biasa. Gandingan mereka adalah yang terbaik.

“Sudah pasti, kedua-duanya mahu menjaringkan gol dan kami perlukan itu – egoisme mereka – mahu mengatasi satu sama lain, tapi mereka juga punya keupayaan untuk memilih keputusan yang betul seperti apa yang dilakukan Sergio.

“Dia berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol tapi masih punya hati untuk membuat umpanan. Apabila keadaan ini berlaku lagi pada masa depan, Gabriel akan melakukannya untuk Sergio pula, dan itu sangat bagus.”

Selepas menyertai City pada Januari lalu, Jesus mengatasi Aguero dalam perebutan tempat kesebelasan utama untuk satu tempoh pada musim lalu, dengan Guardiola memilih untuk menurunkan hanya seorang penyerang.

Aguero sendiri mengakui pada April bahawa dia terpaksa bersaing untuk mengekalkan tempatnya dalam barisan The Sky Blues berikutan kemunculan Jesus sambil mengatakan dia mungkin suatu hari harus mengorbankan tempatnya kepada seorang penyerang lebih muda.

Tapi The Citizens memilih untuk menggandingkan kedua-duanya dalam tiga daripada perlawanan mereka musim ini – satu percubaan yang terbukti memberi pulangan lumayan – sehinggalah kemalangan jalan raya mengembalikan Aguero kepada kedudukan dia harus berjuang balik semula.

Mengenali Aguero, dia bukan saja tidak akan mengalah kepada keadaan, sebaliknya akan kembali dengan lebih kuat dan lebih hebat.