2015 mungkin bukan tahun yang menjadi kemuncak kepada gemilang sukan tanahair, apatah lagi jika anda merupakan penyokong tegar skuad Harimau Malaya. Namun ia tidak bermakna tiada momen indah yang boleh menjadi ingatan abadi.

Tatkala sukan No.2 negara, badminton terus terarah kepada Datuk Lee Chong Wei yang kembali daripada penggantungan doping, sinar daripada permata yang sememangnya diramal menjadi aset besar negara nampaknya mencuri tumpuan lebih awal.

Goh Jin Wei melakar sejarah dengan muncul pemain wanita pertama negara yang mencetak kejayaan di Kejohanan Remaja Dunia selepas beberapa kali menjadi milik wakil lelaki dengan kali terakhir dimenangi pemain perseorangan, Zulfadli Zulkifli.

Sesiapa yang mengenali Jin Wei pastinya tahu personaliti pemain perseorangan berusia 15 tahun ini yang cukup lembut apabila berbicara. Namun tidak di dalam gelanggang dimana seteru lebih senior tidak pernah menggentarkan Jin Wei.

Maka tidak hairanlah mentornya, Tee Jing Yi turut berjaya ditewaskan pada saingan Badminton Purple League baru--baru ini.

Malah sebelum melabuhkan tirai 2015, Jin Wei turut melakar beberapa kejayaan diluar negara, antaranya aksi memukau dan mengejutkan di Terbuka Remaja Jerman, Terbuka Remaja Belanda dan Kejuaraan Antarabangsa Belgium.

Setakat ini Jin Wei menghuni ranking ke-139 dunia dan diharapkan deretan kejayaan yang sudah kecapi dapat menjadi pembakar semangat buat anak muda yang mula menyintai sukan badminton sejak berusia 6 tahun ini untuk melangkah lebih jauh.

Apa yang penting, jangan pernah kenal erti putus asa!