'Rabona', perkataan yang sedang 'trending' ketika ini terutama dalam kalangan peminat bola sepak tanahair.

Ia menjadi bualan hangat di media sosial selepas penyerang import PKNP FC, Yashir Pinto, menghasilkan gol menerusi teknik 'rabona' dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

Gol cantik itu terhasil selepas Yashir menyambut hantaran Mukhairi Ajmal pada minit ke-37 dan melakukan penyudah dengan tendangan 'rabona' padu dari jarak dekat yang tidak mampu dihalang penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Namun, hasrat penyerang kelahiran Chile itu untuk meraikan gol berkenaan dengan kemenangan tidak kesampaian apabila pasukannya tewas 1-2 selepas lawan bangkit meraih dua gol dalam separuh masa kedua.

Walaupun jaringan menakjubkan daripada pemain yang mewakili skuad kebangsaan Palestin itu sudah 'viral', masih ramai yang tertanya-tanya apa itu 'rabona'?

Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, ia adalah gelaran bagi teknik jaringan di mana perkataan 'rabona' diambil daripada dialek bahasa Sepanyol yang dituturkan di Argentina dan Uruguay.

Cara ia dilakukan adalah menerusi 'crossed kick' atau sepakan silang dan ia sering dilakukan dalam keadaan untuk melakukan 'cut back'. Aplikasi teknik rabona ini sukar kerana bukan semua pemain boleh melakukannya dan ia memerlukan pemain memilki kelenturan kaki yang tinggi untuk melakukannya.

Katanya, pemain Itali, iaitu Giovanni Rocatelli, digelar sebagai 'Father Of Rabona'. Pemain-pemain lain yang gemar menggunakan trik ini antaranya Quaresma, Angel Di Maria, Cristiano Ronaldo, Neymar dan jika anda ingat lagi, bekas pemain import Kedah, Liridon Krasniqi, juga kerap melakukannya sebelum ini.

Apa pun, jaringan Yashir sudah 'viral' apabila menarik perhatian media antarabangsa seperti Goal dan COPA90. Pandangan peribadi saya, ia adalah gol tercantik dalam Liga Malaysia musim ini, setakat ini, selepas jaringan 'separuh padang' Herold Goulon.

Jadi, saya berasakan gol cantik Yashir wajar untuk dihantar ke Anugerah Puskas Persekutuan BolaSepak Antarabangsa (FIFA) tahun depan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia FAM gagal dengan dua pencalonan tahun ini.