Sukar membayangkan bagaimanakah perasaan seorang pemain apabila dikutuk dan dihina oleh presiden kelab sendiri setelah setia menabur bakti bertahun-tahun lamanya.

Presiden Real Madrid, Florentino Perez, bukanlah satu nama yang asing daripada kontroversi, lebih-lebih lagi tahun ini kerana dialah antara tokoh utama yang mencadangkan penubuhan Liga Super Eropah, satu tindakan yang ditentang hebat oleh dunia bola sepak secara keseluruhan.

Biarpun menerima pelbagai kritikan dan kecaman, Perez masih lagi bertegas untuk meneruskan misinya itu, malah mengugut akan menyaman kelab-kelab lain yang membuat keputusan untuk menarik diri.

Sikapnya yang sebegitu rupa sudah pastinya lebih daripada cukup untuk menggambarkan dia bukanlah seseorang yang disenangi ramai.

Terkini, akhbar Sepanyol, El Confidencial, telah menerbitkan satu rakaman audio yang direkodkan pada 2012.

Mengejutkan sekali, dalam rakaman itu, Perez telah mencerca pemain terbaik mereka sejak sedekad lalu, tidak lain tidak bukan, Cristiano Ronaldo.



Selain Ronaldo, bekas ketua jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho, turut menjadi mangsa kata-kata pedasnya.

"Ronaldo itu orang gila. Dia bodoh, berpenyakit. Orang lain fikir dia seorang yang normal tapi sebenarnya tidak. Jika dia normal, dia tak akan melakukan perkara-perkara sebegitu. Kenapa agaknya dia buat perkara sebodoh itu?", begitulah kata-kata Perez yang berjaya dirakam.

'Perkara bodoh' yang disebutkan oleh Perez itu tidak dapat dipastikan, namun pastinya kata-kata sebegitu sama sekali tidak enak untuk didengar sesiapapun, apatah lagi seorang pemain yang layak digelar legenda Madrid.

Pada musim 2012- 2013, Ronaldo mengharungi satu musim memberangsangkan apabila menjaringkan 55 gol secara keseluruhan.

Apa agaknya yang dia lakukan sehingga Perez berkata sedemikian?

Rakaman tersebut diteruskan dengan mengutuk Mourinho pula.

"Ejen Ronaldo, Jorge Mendes, dan Mourinho masing-masing mempunyai ego yang tinggi, mereka sama sekali tidak normal. Cuba lihat wajah mereka, renungan tajam mereka, semua orang pun tak suka dengan mereka."

Apa yang lebih menarik lagi, rakaman sebegini bukannya pertama kali berlaku.

Pada 2006, El Confidencial telah terlebih dahulu mendedahkan perkara yang serupa.



Bezanya, pada tahun itu, Perez mencerca dua bekas pemain bintang Madrid, Raul dan Iker Casillas.

"Casillas tidak menepati piawaian sebagai penjaga gol Real Madrid. Tidak pernah dan tidak akan pernah. Dia hanyalah satu kegagalan besar. Masalahnya, penyokong memang menyayangi dia, memuja dia, sedangkan dia sebenarnya seorang penipu besar. Dua penipu terbesar dalam Real Madrid adalah Raul di tempat pertama dan Casillas di tempat kedua."

Pendedahan isu ini pastinya tidak akan disenangi Raul yang bertugas sebagai ketua jurulatih pasukan simpanan Madrid dan disebut-sebut sebagai calon utama untuk menggantikan tempat Zinedine Zidane sebagai ketua jurulatih pasukan utama.

Dalam kenyataan balas rasminya yang diterbitkan di laman sesawang Real Madrid, Perez nampaknya kekal tenang menghadapi kontroversi ini, namun harus diperhatikan, tidak ada sedikit pun nada penyesalan yang dapat dikesan.

"Rakaman itu telah dilakukan secara curi-curi oleh Jose Antonio Abellan yang telah lama cuba untuk menjualnya sejak bertahun-tahun lepas, tetapi tidak pernah berjaya.

"Saya agak terkejut kerana ia akhirnya diterbitkan oleh El Confidencial hari ini biarpun tempoh waktu yang sudah lama berlalu.

"Kata-kata saya itu hanyalah sebahagian daripada perbualan keseluruhan dan ia telah disalahertikan.

"Saya berpendapat kata-kata saya itu diterbitkan disebabkan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan saya menjadi salah seorang pendorong utama Liga Super Eropah.

"Saya sudah menyerahkan hal ini kepada peguam saya dan tindakan selanjutnya sedang dikaji."

Tidak kiralah selama manapun tempoh yang telah berlalu, hakikatnya adalah kata-kata tersebut diucapkan oleh Perez sendiri.

Wajarkah seorang pemain berkorban dan menyerahkan segala-galanya untuk kelab tersayang jika begini balasan yang mereka terima?

Baru-baru ini, bekas kapten Madrid, Sergio Ramos, memutuskan untuk berpindah kerana Perez enggan memberikannya kontrak baru atas alasan dia sudah terlalu tua manakala Raphael Varane juga dikhabarkan sudah berada di ambang perpindahan gara-gara Perez enggan menaikkan gajinya.

Dua pemain ini bukannya pemain baru tetapi mereka sama-sama membanting tulang demi menjadikan Madrid juara dalam pelbagai pertandingan, sama seperti Ronaldo, Raul dan Casillas juga.

Apa yang pasti, gelora bakal melanda Madrid jika perkara ini tidak diselesaikan secepatnya.