Genap seminggu sejak pingat emas pertama Sukan SEA Kuala Lumpur dibutirkan skuad chinlone negara menerusi acara linking pada 16 Ogos 2017, perjalanan kontinjen negara semakin baik dalam impian menggapai 111 pingat emas untuk muncul juara keseluruhan seperti yang direkodkan ketika kali terakhir penganjuran pada 2001.

Peluang berada di lokasi pertandingan temasya besar seperti ini buat kali pertama memberi saya perasaan yang bercampur baur. Gementar, teruja, kagum... namun sikap ingin tahu dan semangat bangkit bersama yang dilaungkan para atlit melebihi segalanya.

Saya kira bertuah kerana menyaksikan kilauan emas itu dibutirkan di hadapan mata pada tugasan pertama di luar studio pada kejohanan dwitahunan ini, malah rakan wartawan Nadi Arena yang turut berada di Stadium Titiwangsa, Adam Zamri juga sama situasinya dengan saya, pengalaman sulung yang cukup bermakna buat kami yang masih bertatih dalam industri ini.

Kerjasama adalah kunci kepada kejayaan kami dalam menyampaikan berita gembira ini kepada semua penonton setia Astro Arena kira-kira jam 12.50 tengahari itu. Bukan sahaja Adam, rakan-rakan setugas dan penerbit yang berada di lokasi lain juga tidak ketinggalan memberikan sokongan, juga sedikit tips dan Alhamdulillah momen bersejarah ini dapat disaksikan semua dengan lancar.

Ketika saya menulis nukilan ini, kontinjen negara terus melakar sejarah di tanahair sendiri dengan kejutan dari sukan-sukan kurang tumpuan seperti pingat emas dan gangsa yang dijelmakan skuad ragbi lelaki dan wanita negara.

Kita pastinya tidak akan melupakan dominasi total skuad bola jaring negara pada edisi ke-29 ini, juga raja dan ratu pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Zaidatul Husniah yang bukan sahaja melunas misi masing-masing tetapi mengembalikan sinar kegemilangan olahraga Malaysia untuk digeruni semula pencabar rantau Asia Tenggara.

Berbaki seminggu lagi sebelum Kuala Lumpur mematikan obor yang akan diserahkan kepada Filipina selepas ini... Ayuh Malaysiaku. Sama-sama kita berjuang menerusi peranan masing-masing, tidak kira selaku atlit yang bertanding, pegawai sukan atau sukarelawan, petugas media mahu pun penyokong. Semuanya demi Malaysia, tanah tumpah darahku.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.