Apabila mendapat maklumat mengenai kemalangan menimpa atlit angkat berat, Muhammad Rashdan Mat Sulaiman yang ditimpa bebanan 130kg, saya segera mendapatkan situasi di Hospital Serdang.

Atlit kategori 85kg ini ditimpa bebanan ketika berlatih di Majlis Sukan Negara dalam sesi latihan rutin.

Bebanan itu terjatuh di perutnya hingga terpaksa dikejarkan ke hospital.

"Saya mahu bantu Selangor di Sukma (September depan). Kecederaan ini sikit saja," kata Rashdan, 18 tahun.

Terkesima saya melihat semangat juang atlit muda ini.

Lebih terkejut apabila doktor menunjukkan kecederaan di usus kecilnya - terkoyak.

Perutnya menerima puluhan jahitan tetapi ia bukan penghalang.

"Semangatnya luar biasa. Dulu ketika kecil, dia akan tetap ke sekolah walaupun demam biasa. Malah dia tetap mahu berlatih.

"Saya doakan dia pulih dan kami sebagai keluarga akan sentiasa menyokong minatnya," kata bapa, Mat Sulaiman Mat Som.

Saya kagum dengan keluarga ini.

Seorang anak yang memiliki semangat juang kental untuk mencapai impian dan keluarga yang sentiasa ada dibelakang.

Saya mengkaji prestasi Rashdan pada Sukma Sarawak 2016.

Pada usia 16 tahun, dia berjaya raih tangga keempat kategori 77kg clean & jerk serta snatch.

Selepas dua tahun, kekuatannya makin meningkat malah dia ambil keputusan menukar kategori menyertai 85kg.

Sama ada sempat pulih atau tidak itu terpulang kepada proses pemulihan.

Apa yang penting, semangat juang untuk kembali bangkit mencapai impian yang belum terlaksana.

Jika bukan rezeki Rashdan di Sukma Perak, mungkin ia akan hadir di tempat lain. Teruskan perjuangan, anda ada ciri-ciri juara masa depan Malaysia.