Kita pasti tidak dapat melupakan penampilan Iceland, sebuah pasukan kecil dari utara kepulauan Nordic yang berjaya memikat hati peminat bola sepak dari seluruh dunia dengan gaya bola sepak mereka.

Walaupun kalah kepada Perancis 5-2 di peringkat suku akhir, ia bukanlah sesuatu yang mengecewakan memandangkan ini adalah kejohanan bola sepak pertama mereka di peringkat antarabangsa semenjak ditubuhkan pada tahun 1947.

Namun kini apa yang berlaku kepada pemain–pemain pasukan ini selepas berakhirnya kejohanan Euro 2016?

1. Peningkatan nilai pemain.

Keseluruhan nilai pasaran bagi pasukan Iceland kini telah meningkat kepada 40.12 juta pound, manakala antara pemain yang menjadi tumpuan ketika Euro, Birkir Bjarnarson, pemain sayap kiri yang menjadi tonggak Iceland dengan menjaringkan gol ketika bertemu Portugal dan menampilkan aksi hebat bertemu England. Nilainya kini dianggarkan 2.98 juta pound. Manakala penyerang, Kolbein Sigthorson, yang beraksi bersama kelab Perancis, FC Nantes, nilainya kini menjadi 2.55 juta pound.

2. Ranking dunia naik

Pada 2010, Iceland hanyalah berkedudukan tangga ke-131 dunia, apabila Lars Lagerback mengambil alih jawatan jurulatih pada 2011, dia hanya memerlukan tiga tahun untuk menaikkan kualiti bola sepak Iceland ke kedudukan 49 dunia.

Sebelum memulakan saingan Euro pula, Iceland berkedudukan ranking 34 dunia, kini mereka selesa mendaki 12 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-22 dunia.

3. Menjadi buruan beberapa kelab sekitar Eropah

Johann Berg Gudmundsson, pemain sayap kanan yang pernah menabur bakti bersama pasukan Charlton Athletic di Liga Divisyen Satu, England kini telah pun sah bersama dengan pasukan Burnley, yang akan membuat penampilan di Liga Perdana Inggeris musim 2016/2017.

Manakala dua lagi kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur dan Leicester City kini sedang giat membida untuk mendapatkan tonggak pertahanan Iceland,Ragnar Sigurdsson.

Bagi seorang lagi pemain Iceland, Hordur Magnusson, walaupun dia beraksi ketika kejohanan Eropah yang lalu, pasukan Bristol City telah menunjukkan keinginan mendapatkannya dari pasukan Juventus untuk satu nilai yang tidak didedahkan.

Pencapaian Iceland bukanlah sesuatu yang dilaksanakan dalam sekelip mata. Iceland juga menunjukkan pada dunia bahawa populasi manusia yang berjumlah 300,000 juga bukanlah penghalang untuk mereka memajukan bola sepak mereka setanding dengan kuasa-kuasa besar sukan ini.

Berbicara tentang Iceland membuatkan saya tidak sabar untuk tunggu dua tahun lagi di Piala Dunia Russia, apakah mereka masih mampu untuk memikat masyarakat dunia dengan gaya bola sepak mereka?