Kekalahan kepada West Ham United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu terus menambah tekanan buat pengurus Manchester United, Jose Mourinho untuk dia kekal duduki jawatan berkenaan.

Pelbagai kemelut yang melanda kem United musim ini menyaksikan semuanya serba tidak menjadi buat Mourinho yang memasuki musim ketiganya bersama kelab berkenaan.

Selepas tujuh perlawanan, United hanya mampu duduki tangga ke-10 liga menerusi tiga kemenangan, satu keputusan serti di samping tiga kali tewas.

Ia merupakan yang terburuk buat United, menyamai pencapaian sewaktu mereka di bawah kendalian David Moyes pada musim 2013/2014.

Selain itu, United juga sudah tersingkir daripada saingan Piala Carabao selepas kecundang kepada Derby County yang kini dikendalikan bekas anak didik Mourinho, Frank Lampard.

Nyata "kerusi panas" yang diduduki Mourinho ketika ini tidak begitu selamat buat dirinya kerana di sebalik aksi hambar di atas padang, dia turut dilanda kemelut babitkan beberapa pemain United.

Hubungannya bersama bintang Perancis, Paul Pogba dilaporkan amat keruh dengan pemain itu mempersoalkan corak permainan yang diterapkan oleh Mourinho tidak menepati apa yang dimahukan oleh peminat selepas aksi menentang Wolves.

Tindakan itu bagaimanapun menyaksikan Mourinho melucutkan kedudukan Pogba selaku naib-kapten pasukan.

Malah pengendali kelahiran Portugal itu juga tidak dapat menggunakan kelebihan yang ada khususnya pemain seperti Anthony Martial, Marcus Rashford di samping Alexis Sanchez yang cukup menghampakan sejak dia berhijrah dari Arsenal dengan pakej kontrak yang cukup lumayan.

Pada 27 Mei 2016, Mourinho menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan pilihan untuk kekal selama setahun lagi sehingga 2020.

Namun berdasarkan situasi sekarang dia kemungkinan akan berpisah dengan United lebih awal.