Barcelona memulakan kempen 2019/2020 dengan catatan yang kurang memuaskan selepas hanya mencipta dua kemenangan satu seri dan satu kekalahan.

Kesemua empat perlawanan La Liga itu dilalui tanpa kelibat bintang utama, Lionel Messi, yang bergelut dengan masalah kecergasan akibat kecederaan betis.

Bagaimanapun, kini peminat di Camp Nou pasti boleh tersenyum lebar.

Menjelang aksi pertama Kumpulan F, Liga Juara-Juara Eropah, menentang Borussia Dortmund, kapten Argentina itu memberikan harapan buat pasukan kendalian Ernesto Valverde berkenaan.

Isnin lalu, Messi kembali menjalani latihan penuh bersama rakan sepasukannya dan selepas terlepas kemenangan 5-2 ke atas Valencia hujung minggu lalu, dia akan diturunkan dalam aksi di Signal Iduna Park.

Walaupun Valverde sebelum ini menegaskan dia tidak mahu tergesa-gesa untuk menurunkan pemenang lima kali Ballon d'Or itu, namun prestasi tidak konsisten Barca setakat ini mungkin memaksa pengendali itu untuk segera menggunakan Messi sebagai taruhan utama di barisan hadapan bersama Luis Suarez dan Antoine Griezmann.

Lebih-lebih lagi, kecemerlangan Barca di pentas Liga Juara-Juara pasti menjadi sasaran utama Valverde selepas gagal melangkah ke final selama beberapa tahun, termasuk kekalahan akibat kebangkitan Liverpool dalam separuh akhir musim lalu.

Malah, mustahil peminat Barca tidak teruja untuk melihat gandingan Messi, Suarez dan pendatang baru, Griezmann, buat kali pertama sejak penggempur Perancis itu hadir ke Camp Nou, musim panas lalu.