Dua puluh bulan bukan satu masa yang singkat untuk seorang atlet yang berehat akibat kecederaan ACL.

Namun, 5 Julai menjadi memori indah buat Low Wee Wern selaku pemain skuasy negara yang akhirnya menyertai Kejohanan Terbuka Malaysiam di mana saingan terakhirnya juga adalah kejohanan sama pada November 2016.

Kekecewaan sewaktu tidak mendapat lampu hijau untuk beraksi di pentas Sukan Komanwel lalu dilihat terubat dengan prestasinya ketika ini yang tampil selesa beraksi di gelanggang selepas sekian lama.

Wee Wern kini dalam misi untuk merebut slot acara individu dalam Sukan Asia Jakarta 2018 dan Terbuka Malaysia ini adalah permulaan terbaik untuknya kembali curi perhatian.

Apa yang penting, Wee Wern harus menggandakan penjagaan dirinya sendiri tidak kira ketika latihan atau kejohanan kerana sebelum ini telah menjalani tiga pembedahan akibat kecederaan itu.

Saya percaya, tahap kecergasan Wee Wern tetap menjadi keutamaannya di samping memenuhi misi untuk meraih gelaran juara di kejohanan ini.

Apatah lagi, dia perlu waspada dengan peningkatan beberapa pemain muda seperti S.Sivasangari dan Aifa Azman yang makin menunjukkan prestasi terbaik sejak kebelakangan ini.

Ia pasti memberi satu persaingan sengit antara mereka untuk merebut slot acara individu di Jakarta Ogos depan

Selamat maju jaya Wee Wern!