DIJEMPUT Kerajaan Jerman menerusi kedutaannya di Kuala Lumpur, penulis antara kelompok wartawan yang menyaksikan Piala Konfederasi 2005 di negara yang melahirkan Franz Beckenbauer, Gerd Muller, Bastian Schweinsteiger, Thomas Muller dan Joachim Low.

Setibanya di Lapangan Terbang Tegel, Berlin, penulis disambut pegawai seranta Goethe Institute, Hanife Safak dan kami akhirnya dikumpulkan untuk meninjau persiapan Jerman menjelang Piala Dunia 2006.

Kembara ini membuka ruang untuk penulis mengenali Les Murray dari Australia, Felix Abayateye dari Ghana, Mamadou Salif Diallo (Senegal), Enock Muchinjo (Zimbabwe), Theophile Ngari (Gabon), Nguyen van Yen (Vietnam) dan satu-satunya wanita, Lee Ching Chen dari Taiwan.

Sebelum menjejakkan kaki ke Jerman, kami tidak diberitahu mengenai latar belakang rakan-rakan seperjuangan dan dari negara mana mereka datang.

Apabila diperkenalkan dengan satu sama lain, baru penulis menyedari mereka adalah wartawan berpengaruh di negara masing-masing.

Murray menceritakan bahawa dia hos televisyen yang mempunyai programnya sendiri di Australia, lantas membuka kesempatan kepada penulis menguak jendela dunia bola sepak dari perspektif seorang penyiar yang meliput Piala Dunia sejak 1990.

Berpakaian kemas dengan kemeja t tanpa kolar sambil dilengkapi blazer hitam, begitulah Murray sepanjang dua minggu kami menjelajah Jerman meninjau persiapan di enam bandar – Gelsenkirchen, Munich, Cologne, Berlin, Dortmund dan Frankfurt.

Lebih penting adalah pengetahuan Murray dalam bola sepak. Sebagai pendatang dari Hungary yang melarikan diri dengan keluarganya dari Budapest untuk membina kehidupan di Australia, Murray meninggalkan legasi besar untuk sukan itu jauh dari tanah kelahirannya.

Status Murray yang mengulas untuk saluran SBS, ibarat Datuk Rahim Razali, pengulas sukan tempatan bertaraf legenda.

Kami bertukar pendapat dalam semua topik, termasuk hubungan Australia dan Malaysia dalam sukan, khususnya bola sepak.

Penulis memaklumkan Murray bahawa Ron Smith pernah menjadi pengarah kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada lewat 1990-an dan kebetulan pula waktu persinggahan kami di Jerman, skuad senior kebangsaan dikendalikan oleh Bertalan Bicskei dari Hungary.

Penulis juga mengingatkan hakikat bahawa Les Scheinflug menyaksikan anak buahnya membelasah Malaysia 8-1 sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia FIFA Bawah 20 tahun di Kuala Lumpur pada 1997.

Suara lunaknya membuatkan penulis menyakat Murray bahawa dia kelihatan seperti seorang bintang rock.
“Memang saya penyanyi utama band saya,” jawab Murray.

Kami berbincang mengenai hala tuju televisyen, cara menyebut nama pemain dan jurulatih dengan betul dan masa depan bola sepak Asia serta pengalamannya membuat liputan Piala Dunia.

Sejak kami mengucapkan selamat tinggal di Jerman, kami hanya bertanya khabar menerusi emel sehingga penulis meletak jawatan pada 2008. Malangnya emel menggunakan pelayan organisasi akhbar itu sudahpun terhapus.

Kami kembali berinteraksi dalam alam maya menerusi Twitter yang penulis sertai pada 2012.

Ketokohan Murray tergambar menerusi penghormatan yang diberikan oleh pengulas tersohor England, Martin Tyler.

“Saya kehilangan seorang rakan, seorang perintis dan bola sepak kehilangan seorang juara,” kata-kata Tyler menghiasi ruang belasungkawa di laman web SBS.

Turut merasakan kehilangan ialah bekas penyerang Liverpool, Stan Collymore, Tim Cahill dan seluruh masyarakat bola sepak Australia, termasuk Perdana Menteri, Malcolm Turnbull.

Craig Foster, bekas pemain Singapura dan Australia, menulis di twitter “Dunia bola sepak kehilangan seorang gergasi hari ini, dia berjuang sehingga masa tambahan tetapi wisel telah dibunyikan. Legasinya mekar”.

Selamat jalan, sahabat.