Penghujung Mac ini menyaksikan dua skuad kebangsaan, barisan senior dan B23 bersaing dalam Piala Airmarine serta kelayakan AFC B23 Tahun.

Sudah pasti kita mengharapkan kejayaan buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe serta Datuk Ong Kim Swee.

Kedua-dua barisan negara ini mempunyai misi tersendiri yang penting, barisan senior perlu menggunakan Piala Airmarine untuk memperbaiki ranking dunia FIFA bagi memastikan tidak perlu melalui play off di saingan kelayakan Piala Dunia.

Bagi barisan B23 negara, saingan kelayakan AFC juga adalah kelayakan ke saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia berada dalam Kumpulan J, bersama China, Laos dan Filipina yang penulis sifatkan sebagai kumpulan seimbang buat barisan negara.

Juara setiap kumpulan mara ke pusingan akhir AFC B23 di Thailand tahun depan, manakala lima naib juara terbaik kumpulan akan turut mara.

Penulis optimis, barisan B23 akan mara ke pusingan akhir dengan Kim Swee kini sudah dapat membariskan skuad terkuatnya.

Kehadiran tonggak Piala Suzuki AFF seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syami Safari dan Syamer Kutty Abba sudah pasti menambah keampuhan pasukan.

Ditambah pula dengan kehadiran penyerang kelab Liga J2 Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak yang pasti menambah sengat jentera serangan.

Hadi mempamerkan peningkatan sejak berhijrah ke Jepun musim ini dan ia terbukti di saingan AFF B22 lalu, meskipun gagal membantu pasukan ke separuh akhir.

Bagi skuad senior pula, penulis percaya Cheng Hoe tetap mampu membariskan kesebelasan terbaik meskipun tanpa kelibat empat tonggak muda yang bersama skuad B23.

Pemain seperti Hadin Azman, Syazwan Zainon, Hafiz Ramdan dan juga Faiz Nasir perlu buktikan mereka mampu menyinar bersama barisan senior negara.

Malaysia akan berdepan Singapura di aksi pertama Piala Airmarine dan jika menang bakal berdepan pemenang perlawanan antara Oman dan Afghanistan di final.

Singapura dijangka memberi tentangan hebat walaupun ini adalah kejohanan jemputan antarabangsa.

Ia memandangkan seteru hebat tiap kali negara jiran itu berdepan Malaysia dan barisan pemain perlu waspada ancaman Singapura.

Perlu diingat, Singapura diperkuat tiga pemain import Liga Super yang cemerlang setakat ini iaitu Harris Harun, Safuan Baharuddin dan Shakir Hamzah.

Ramalan penulis, Harimau Malaya mampu menangani skuad Singa untuk ke pentas final kejohanan ini.