Dijemput di saat akhir oleh Persekutuan Hoki Dunia untuk menggantikan Pakistan ke Piala Remaja Dunia di India yang akan berlangsung dari 8-18 Disember 2016 ini sememangnya tidak disangka oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) serta peminat peminat hoki tempatan.

Malaysia gagal layak secara merit ke Piala Dunia Remaja apabila menduduki tangga kelima di Kejohanan Piala Asia, di mana empat pasukan teratas layak secara merit, iaitu India, Pakistan, Jepun dan Korea.

Menduduki tempat kelima memberi Malaysia sebagai pasukan simpanan pertama andai kata ada pasukan yang menarik diri dari Piala Dunia Remaja.

Oleh kerana Persekutuan Hoki Dunia telah mengumumkan penyertaan Pakistan telah dibatalkan apabila mereka gagal mendaftar senarai pasukan setelah tarikh untuk pendaftaran ditutup beberapa hari yang lalu.

Berita ini menarik minat peminat-peminat hoki tanah air yang memberikan pendapat samaada kita harus menerima jemputan atau tidak.

Pada pendapat saya, peluang menyertai Piala Dunia Remaja akan banyak memberi kebaikan pembangunan secara keseluruhannya kepada pemain pemain bawah-21 tahu kebangsaan ini.

Aksi di sana nanti akan memberi mereka pengalaman menentang pasukan dan pemain-pemain terbaik di dunia. Bahang kejohanan juga tidak sama dengan perlawanan-perlawanan persahabatan atau pendedahan yang selalu kita lalui dalam program program persiapan. Mereka juga berpeluang menyaksikan pasukan pasukan hebat lain beraksi.

Faktor-faktor begini yang akan membantu dalam mematangkan pemain pemain. Mereka harus lalui ini semua untuk menjadi pemain yang lebih berwibawa. Sama seperti saya dan banyak lagi pemain Kebangsaan yang pernah beraksi di Piala Dunia Remaja.

Piala Dunia Remaja telah membantu kami menjadi pemain yang lebih matang seterusnya memberi manfaat kepada pasukan senior negara untuk jangka masa panjang.

Tahniah kepada pengurusan Konfederasi Hoki Malaysia yang telah membuat keputusan yang tepat dan bijaksana dengan mengambil kira tentang pembangunan pemain-pemain ini.

Secara realistiknya, kita akan berada di dalam kumpulan bersama Belanda, Belgium dan Mesir di mana ini bukanlah kumpulan yang mudah.

Bertemu Mesir, kita mempunyai harapan cerah, namun dengan Belanda dan Belgium memang sukar.

Tetapi bukan mustahil. Bola itu bulat. Jangan menyerah kalah sebelum bertempur. Pendekatan ini yang harus dipegang oleh semua pemain-pemain dan pegawai pasukan.

Percaya kepada kebolehan diri sendiri serta rakan sepasukan yang kita juga mampu bersaing di sana. Pernah ada contoh seperti pasukan bola sepak Denmark dalam kempen Piala Eropah. Pasukan gantian dipanggil di saat akhir keluar sebagai juara.

Bagi pendapat saya dalam mengambil kira perjalanan dan persiapan, peluang pasukan Malaysia di Piala Remaja Dunia ini jika berjaya berada dalam kelompok 10 teratas dari 16 pasukan, pencapaian ini boleh dibanggakan.

Selamat Berjuang Pasukan Hoki Remaja Malaysia!