Kali pertama saya bertemu Adli Hafidz Mohd Pauzi ketika Mohd Farkhan Haron membuat penampilan sulung arena profesional di Singapura, tahun lalu.

Ketika itu, dia berada dalam kem Farkhan mempersiapkan bekas pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 itu berdepan peninju Indonesia, Elly Pangaribuan.

Berbekal susuk tubuh tegap, dia berpotensi mengikut jejak langkah Farkhan.

Sekembali ke Kuala lumpur, saya bertemunya di Majlis Sukan Negara Taman Keramat.

Ternyata, dia memiliki tumbukan padu sekaligus dianggap pengganti terbaik Mohd Fairuz Azwan Abdullah selaku pemenang emas kategori 81kg Sukan SEA 2009.

"Saya tidak sangka, penampilan pertama di Sukan SEA berjaya menghasilkan pingat perak. Masa berlalu begitu pantas dan saya fikir, sudah tiba masa untuk menyertai arena profesional," kata Adli.

Adli tewas kepada peninju Filipina pada final 81kg Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ia kejayaan besar kerana dia baru membuat penampilan sulung sekaligus meningkatkan keyakinan peninju kelahiran Johor ini untuk menyertai kem Farkhan dalam arena profesional.

"Saya mahu jadi seperti (Manny) Pacquiao. Dia tidak pernah menang pingat emas Sukan SEA namun akhirnya jadi legenda tinju dunia," kata Adli.

Saya menghormati keputusan Adli.

Dia berhak menentukan masa depan karier tinju dan saya percaya, dia berada di laluan yang betul untuk mengembangkan bakat.

Apatah lagi, Pacquiao setuju menempatkan 'Team Farkhan' di bawah kendaliannya selepas mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bulan lalu.

Malaysia turut memiliki beberapa peninju profesional seperti Mirage Khan dan Eddy Kalai yang menguruskan sendiri karier mereka. Setakat ini, keadaan nampak baik untuk mereka.

Saya doakan Adli capai impian untuk berdiri setaraf Pacquiao. Perjalanan baru bermula, saya percaya dia berada di tempat yang betul.

Selamat berjaya Adli!