Hampir dua minggu telahpun berlalu dan sebilangan besar barisan pemain dan kejurulatihan kelab dari Brazil, Chapecoense, menemui penghujung yang sangat tragis.

Nahas pesawat yang membawa mereka untuk beraksi dalam final Copa Sudamericana terhempas, hanya 18 minit menuju ke lapangan terbang.

Nukilan ini bukan untuk menyingkap semula tragedi yang menimpa mereka tetapi kisah yang cukup mengagumkan, kisah underdog yang menyentuh jiwa seluruh dunia.

Jika kejayaan Leicester City dalam menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu sering menjadi sebutan, kisah Chapecoense pula pasti akan disingkap dalam filem dan dokumentari pada masa akan datang, supaya umum akan mengingati pasukan ini selama-lamanya.

Salah seorang mangsa tragedi ini ialah penjaga gol utama pasukan Chapeconse, Marcos Danilo Padilha, yang menyelamatkan gol pada saat-saat akhir perlawanan sekaligus menyaksikan pasukannya mara ke final Copa Sudamericana buat kali pertama sejak 43 tahun.

Hanya beberapa hari selepas Danilo menyelamatkan gawangnya di Arena Conda, kini hanya tinggal stadium kosong yang dipenuhi bunga, lilin dan ucapan takziah.

Pada Sabtu lalu, hari yang paling emosi buat penduduk Chapeco apabila keranda barisan pemain dan kejurulatihan pasukan itu dibawa ke Arena Conda di mana ramai yang tidak tahan rasa sebak yang menyelubungi diri mereka.

Apa yang lebih menyayat hati lagi ialah menjelang Hari Natal, ini adalah masa untuk membeli belah buat keluarga tersayang, namun bagi penduduk Chapeco terutama sekali keluarga mangsa.. mereka enggan hadiah istimewa pada hari Natal 25 Disember ini.

Apa yang mereka inginkan ialah agar pesawat itu selamat mendarat bersama penumpang-penumpang yang ada, namun hajat itu tidak akan menjadi kenyataan dan mereka terpaksa terima hakikat, perayaan Hari Natal tahun ini adalah yang paling perit perlu dilalui.