Saya berdebat dengan beberapa rakan mengenai rekod pertemuan Malaysia dan Great Britain.

Berdasarkan rekod Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), kedua-dua pasukan berentap sebanyak lapan kali sejak 1956 dengan Malaysia tidak pernah mencatat sebarang kemenangan.

Disini timbul masalah.

Mustahil Malaysia tidak pernah menewaskan Great Britain selaku bekas pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik (1920 dan 1988).

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) juga tidak menyimpan statistik mengenai rekod pertemuan itu.

Jadi, selepas berbincang dengan beberapa bekas pemain, wartawan dan pemerhati - keputusan dicapai.

Malaysia pernah menewaskan Great Britain dua kali!

Ini hanya membabitkan tempoh 70 minit masa penuh (era 90-an).

Pertama di Cardiff, England di mana Malaysia menang, 1-0 hasil jaringan bekas pemukul sudut penalti negara, K. Embaraj, pada 1991.

Kedua, Piala Sultan Azlan Shah 1996 yang menyaksikan bekas kapten, Datuk Mirnawan Nawawi, S. Kuhan, dan pemain tengah, Nishel Kumar, meledak gol ketika menang, 3-2 di Ipoh, Perak.

Malaysia-Great Britain berentap sekali lagi dalam penentuan tempat ke-3/4 kejohanan sama. Keputusan masa sebenar berakhir 3-3 sebelum Malaysia menang menerusi penalti stroke.

Itulah kali terakhir Malaysia menumbangkan Great Britain, 23 tahun lalu!

Dalam pasukan sekarang, tiada seorang pun pemain negara yang pernah merasai pengalaman menumbangkan Great Britain, ranking ketujuh dunia.

Malah Malaysia, ranking ke-11 dunia akan beraksi sebagai underdog dalam aksi di Pusat Tenis dan Hoki Lee Valley yang bakal mencecah suhu 8 darjah celsius, hujung minggu ini.

Atas faktor itu saya katakan ini misi mustahil.

Tetapi ingat kita pernah menumbangkan Great Britain. Ayuh ulangi sejarah 13 tahun lalu dan layak ke Olimpik!