Sir Alex Ferguson membina dinasti yang dijulang sebagai sesuatu yang diimpikan untuk kekal sepanjang zaman.

Namun, Manchester United yang ditinggalkan Ferguson pada 19 Mei 2013 bukanlah entiti sama waktu ini dengan nama The Red Devils lebih selesa dilempar sebagai cemuhan seteru.

Seharusnya siapa penerus legasi sebenar kepada dinasti ditinggalkan Ferguson terus jadi tanda tanya sehingga hari ini.

David Moyes


Ah, Individu yang dicanang Ferguson sendiri sebagai penggantinya apabila menandatangani kontrak rasmi sepuluh hari sebelum perlawanan terakhir kendalian Ferguson.

Mewarisi skuad yang memenangkan United kejuaraan ke-20 Liga Perdana Inggeris mereka, Moyes dijangka meneruskan dominasi The Red Devils.

Bagaimanapun, waktu Moyes bersama United tidak bertahan lama apabila ditunjuk jalan keluar April tahun berikutnya berikutan prestasi buruk.

Tidak sampai semusim berlalu dalam kontrak enam tahun yang ditandatangani Moyes seterusnya menyaksikan United menamatkan kempen di tangga ketujuh liga.

Sumbangan Terbesar : Juan Mata & Marouane Fellaini

Louis Van Gaal

Dikenali dengan nama LVG, seorang pelatih memiliki kredibiliti luar biasa dan dipilih sebagai penyelamat United selepas Moyes.

Lantikan Van Gaal membangkitkan keterujaan apatah lagi dia memimpin kempen menakjubkan bersama Belanda di pentas Piala dunia 2014.

Ini tidak termasuk perwatakan yang sukar diramal Van Gaal seperti yang dibuktikan dengan himpunan kata-kata hikmat dan lagak penuh keyakinan.

Walaupun corak permainan sedikit hambar dengan penekanan taktikal, Van Gaal tetap hadirkan kejayaan kecil menerusi Piala FA musim 2015/2016.

Itu sebelum dia ditunjuk jalan keluar, hanya beberapa hari kemudian.

Sumbangan Terbesar : Ander Herrera, Anthony Martial & Marcus Rashford.

Jose Mourinho

Akhirnya Manchester United berlagak seperti sang gergasi dengan menjadikan musuh awam paling dibenci, Jose Mourinho, sebagai pengurus.

Berdasarkan khabar angin sewaktu Ferguson mula bersara, ramai mahukan Mourinho menjadi pengganti sebelum takdir membawa dia kembali ke Chelsea dan United merana bersama Moyes.

Musim pertama ditunjangi Zlatan Ibrahimovic serta Paul Pogba, Mourinho bangkit nafas baru buat United meskipun menamatkan kempen liga di tangga keenam.

The Red Devils pada penghujung musim sulung dia itu meraikan kejayaan menjulang Piala Liga dan Liga Europa untuk mengembalikan United ke pentas elit Eropah.

Kempen berikutnya menjadi permulaan kepada kejatuhan Mourinho sehinggalah terbit sindrom musim ketiga yang lazimnya menyaksikan pengendali kelahiran portugal itu dipecat.

Selepas keruntuhan moral dan prestasi, seperti yang diramal, jodoh United bersama Mourinho tidak bertahan lama.

Sumbangan Terbesar : Kejuaraan pertama Liga Europa dalam sejarah United.

Ole Gunnar Solskjaer

Berita paling mengejutkan selepas pemecatan Mourinho adalah pengumuman Solskjaer sebagai pengurus sementara.

Wow, seorang legenda yang bertanggungjawab menghadirkan gelaran Liga Juara-Juara Eropah buat United menerusi kebangkitan menakjubkan pada 1999 menjadi "bos".

United ibarat bernyawa semula dibawah Solskjaer sehinggalah dia disahkan sebagai pengurus tetap.

Sejak daripada pengumuman itu, kemerosotan United pada tahun 2019 persis era Mourinho kembali menghantui Solskjaer dan penyokong.

Dimuktamadkan dengan kekalahan 2-0 di tangan bekas pasukan kendalian Solskjaer, Cardiff City di Old Trafford sekali gus memutlakkan malang United tanpa pentas utama bola sepak Eropah musim depan.

Lantasan kredibiliti Solskjaer dipersoal pelbagai pihak termasuk penyokong United yang sebelumnya memujanya sebagai penyelamat bola sepak kelab itu.

Jadikanlah Liverpool yang terus sabar dengan pertukaran pengurus serta bola sepak hambar sehinggalah hadirnya Jurgen Klopp sebagai contoh buat penyokong United yang makin hilang sabar dan waras.

Walaupun mereka tidak memenangi Liga Perdana Inggeris, setidaknya harapan untuk mencuba di musim akan datang bukan omong kosong tetapi aspirasi yang bersandar kepada realiti.

Kalau tidak ada sokongan padu buat Solskjaer, seharusnya siapa yang layak memimpin United untuk kembali ke zaman gemilang Ferguson?