Muncul pemenang tempat ketiga selepas menewaskan Vietnam 6-5 dalam aksi penuh dramatik penentuan tempat ketiga/keempat, skuad negara bukan sahaja memperbaiki pencapaian buruk tahun lalu malah mengulangi kejayaan 2008.

Ia juga menjadi pencapaian terbaik skuad negara sejak muncul naib juara pada 2010, namun ketika itu kejohanan AFF yang diadakan di Ho Chi Minh Vietnam tidak disertai Thailand.

Lebih manis, kemaraan ke separuh akhir pada edisi kali ini membolehkan skuad negara layak secara merit ke kejohanan AFC di Uzbekistan yang dijadual berlangsung Februari 2016.

Potensi yang dimiliki pasukan negara wajar dipandang serius badan induk bola sepak negara ketika pasukan lain di rantau ini terus mempamer peningkatan dengan Thailand misalnya terus berada jauh di hadapan.

Penganjuran liga futsal profesional adalah elemen penting untuk membawa tahap futsal negara ke aras baru. Thailand sudah membuktikan penganjuran liga profesional sejak 2006 membolehkan mereka mendominasi saingan rantau ini dan muncul antara gergasi futsal asia.

Ia bukan sahaja mampu meningkatkan prestasi pemain negara ke tahap lebih baik malah berupaya melahirkan lebih ramai lagi pemain berkualiti menerusi liga kompetitif dalam tempoh setahun dengan pembabitan pemain-pemain import.

Di bawah pimpinan Datuk Yusof Mahadi, Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM tampak mampu melakukan perkara tersebut dan ini dibuktikan menerusi pencapaian skuad futsal wanita dan lelaki dalam kejohanan yang disertai tahun ini.

Namun, saya percaya impian ini perlu mendapat sokongan semua pihak daripada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan pihak penaja dalam usaha merealisasikannya. Memandangkan kita sukar untuk layak ke Piala Dunia dalam bola sepak, tidak salah kita 'tukar selera' membawa futsal ke Piala Dunia kerana ia lebih hampir berbanding bola sepak.