Saya masih ingat semasa zaman kegemilang pasukan bolasepak Kuala Lumpur menjuarai Piala Malaysia tiga kali berturut-turut pada tahun 1987, 1988, 1989 dan juga zaman kegemilang badminton negara yang telah memenangi Piala Thomas kali terakhir pada tahun 1992.

Nama yang terlintas di benak fikiran saya adalah YBhg Tan Sri Elyas Omar. Beliau adalah datuk bandar Kuala Lumpur, Supremo Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (1984 - 1996), Persatuan Lumba Basikal Malaysia (1984 - 1988) dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (1985 - 1993).

Dari pengamatan saya sehingga kini, beliau adalah satu-satunya datuk bandar yang paling aktif dalam menyumbangkan bakti untuk sukan di Malaysia.

Saya berpeluang berada di dalam kelompok di bawah pimpinan Tan Sri Elyas apabila beliau telah dilantik sebagai Chef De Mission kontinjen Malaysia untuk Sukan Olimpik Barcelona 1992.

Barcelona 1992 merupakan Sukan Olimpik pertama saya, selepas itu adalah pada tahun 1996 Sukan Olimpik Atlanta dan Sukan Olimpik Sydney 2000.

setelah pengumuman dibuat bahawa Tan Sri Elyas Omar adalah Chef De Mission Kontinjen Malaysia ke Olimpik Barcelona, saya berkata pada diri saya "seorang tokoh sukan Malaysia adalah CDM Olimpik kali ini".

Ada beberapa pengalaman saya bersama beliau yang masih saya ingat hingga ke hari ini.

Selain beliau menjenguk latihan-latihan pasukan hoki kebangsaan dalam persiapan ke Olimpik, seminggu sebelum bertolak ke Barcelona, beliau menjemput semua atlet dan pegawai ke rumah beliau untuk jamuan makan malam.

Kami pergi dengan berpakaian formal yang di tempah Khas dan berkasut kulit yang ditaja oleh Bata. Semasa menjamu selera dengan berbagai makanan yang dihidangkan, Tan Sri begitu santai ke satu meja ke satu meja atlet bertanya khabar mengenai latihan dan berborak kosong.

Mungkin kami tidak perasan yang Tan Sri dalam masa yang sama melihat "suit" dan kasut yang kita pakai.

Selepas ucapan penutup, beliau berkata "kita ke Olimpik sebagai wakil Rakyat Malaysia dan selain kami harus berbangga, apa yang kita pakai juga harus yang terbaik buat imej Negara". Beliau berkata lagi "Kita bukan Kontinjen "Tepi Jalan".

Tan Sri Elyas terus mengarahkan semua atlet esok pergi ke satu butik jenama terkenal untuk menempah Suit Baru dan RM 300 seorang untuk beli kasut kulit hitam yang baru.

Tidak cukup dengan pakaian baru, semasa bersalaman sebelum pulang setiap atlet di beri sampul surat di dalamnya berisi RM3000 buat wang saku ke Olimpik. Malam tu semua atlet pulang dengan senyuman.

Perjalanan ke Perkampungan Sukan semasa di Barcelona mengambil masa lebih kurang 45minit. Pada perlawanan pertama kami Tan Sri turut serta berada di dalam bas. Seperti biasa di dalam bas suasana agak sepi dimana pemain pemain akan "visualise", fikir tentang tugas masing masing semasa perlawanan, fokus dan sebagainya. Bila melihat situasi ini Tan Sri merasakan bahwa mungkin pemain pemain gemuruh atau panik tentang perlawanan. Dengan spontan beliau mungkin ingin membantu dengan memberikan talipon bimbit beliau menyuruh pemain pemain talipon ibu bapa, buah hati atau pun isteri bagi menghilangkan rasa gemuruh pada pendapat beliau.

Kami hanya tersenyum sahaja melihat gelagat CDM kami yang begitu perihatin.

Walaupun Kontinjen Negara terdiri dari pelbagai atlet dan Sukan, Tan Sri perlu membahagikan masa beliau untuk berada di semua venue, walaupun bukan semua perlawanan pasukan Hoki yang sempat beliau menonton, kerana keperihatinan beliau membuatkan kami rasakan beliau sangat dekat dengan kami.

Di Perkampungan Sukan semememangnya menyediakan semua yang diperlukan oleh atlet termasuk juadah di dewan makan. Dari Mc Donald sehinggalah makan untuk masyarakat id semua benua. Walaupun begitu sebagai CDM yang perihatin dari masa ke semasa beliau arahkan supaya kami dihidangkan makanan Malaysia yang di bawa dari luar Perkampungan Sukan untuk kita sekurang kurangnya melepas rindu dengan masakan Malaysia.

Kesimpulan saya mengenai Tan Sri Elyas Omar adalah kejayaan yang beliau kecapi semasa memimpin Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur dan Persatuan Badminton Malaysia bukanlah nasib semata mata tetapi sikap "hands on", keperihatinan beliau terutama kebajikan pemain pemain membuatkan pemain pemain bermain untuk beliau untuk membalas apa yang telah beliau berikan.

Mungkin saya silap tapi saya percaya jika ditanya kepada pemain Bolasepak dan Badminton era itu jawapannya mungkin sama.