Lama mereka menunggu, akhirnya penantian itu berakhir.

Piala Tan Sri P Alagendra gelaran pertama untuk Sapura selepas kali terakhir menjulang trofi Liga Hoki Malaysia pada musim 2004-2005.

Ternyata, penantian 11 tahun berbaloi apabila skuad kendalian Yahya Atan cipta sejarah pasukan pertama menjulang Piala Tan Sri P Alagendra, kejohanan ala Piala FA yang baru diperkenalkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Sapura sebenarnya bukan calang-calang pasukan.

Zaman kegemilangan pada 20042005, mereka berjaya menjulang trofi berganda (Juara Liga dan Piala TNB).

Beberapa pemain ternama dunia juga pernah menyarung jersi kelab itu. Antaranya, bekas pemain kebangsaan Korea Selatan, Kang Keong Wook, Hwang Jong Hyun, bekas penyerang ternama Pakistan, Rehan Butt, Muhammad Imran dan David James Kettle (England).

Bintang kebangsaan juga pernah berada di kem Sapura seperti S Kuhan, Mohd Nasihin Nubli, Jiwa Mohan, Rodzhanizam Mat Radzi dan Redzuan Ponirin.

Bagaimanapun selepas 2004-2005, mereka tenggelam ekoran dominasi antara Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Terengganu Hockey Team (THT).

Musim 2016 ternyata pihak pengurusan Sapura melaksanakan tugas cemerlang.

Mereka berjaya mendapatkan beberapa pemain import berkualiti seperti Philip Burrows (New Zealand), Gurbaj Singh (India) dan Oscar William Wookey (Australia).

Kehadiran bekas penyerang THT, Firhan Ashaari pula cukup menjadi bergandingan bersama pemain bertubuh kecil yang memiliki impian besar menyarung jersi kebangsaan, Muhammad Azrul Hasbullah.

Ramuan inilah kunci utama Sapura menumbangkan TNB, 2-1 pada final Piala Tan Sri P Alagendra di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta sekaligus menamatkan penantian 11 tahun mereka.

Saya tertarik dengan status pertahanan Sapura, Faiz Helmi Jali di laman Facebook: "Satu sudah dapat, dua lagi selepas ini".

Saingan liga berbaki dua perlawanan lagi dengan Sapura menghuni takhta dengan 18 mata, kelebihan satu mata ke atas KLHC sementara THT mengekori rapat dibelakang (16 mata).

Siapa melakukan kesilapan akan terlepas trofi liga dan sudah tentu, Sapura akan cuba mencipta sejarah terbesar.

Mereka ada peluang mencipta treble dengan Piala Liga dan Piala TNB.