Pasukan gergasi Inggeris, Manchester United telah berjaya membenam seteru yang makin menggerunkan ketika ini untuk takhta juara liga perdana Inggeris(EPL), Tottenham Hotspur di laman sendiri Sabtu lalu.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Anthony Martial pada minit ke 81 perlawanan di mana jaringan tersebut merupakan jaringan ke-10 pasukan Manchester United pada 10 minit terakhir perlawanan.

Pengurus pasukan, Jose Mourinho, menyatakan bahawa perlawanan tersebut adalah sukar di mana kedua-dua pasukan amat berhati-hati untuk membuat serangan.

Berada 5 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City, pengurus kelahiran Portugal itu bagaimanapun berasa bangga dengan prestasi anak buahnya yang menunjukkan semangat “tidak mahu kalah”. Walaubagaimanapun, perlawanan sengit tersebut mungkin mempunyai kesudahan yang berbeza jika penyerang Tottenham Hotspur, Dele Alli, berjaya menyudahkan hantaran Christian Eriksen.

Walaupun berjaya menjaringkan gol kemenangan bagi pasukannya, Anthony Martial tetap menerima kritikan daripada lagenda pasukan Manchester United, Gary Neville.

Menurut bekas pemain pertahanan tersebut Anthony Martial, yang berpindah dari pasukan AS Monaco pada tahun 2015, sepatutnya boleh bermain dengan lebih baik dan merasakan penyerang tersebut hanya menunjukkan kebolehannya sebanyak 85 peratus sahaja.

Sebaliknya, beliau mempunyai kebolehan untuk menjaringkan 20 gol dalam 20 perlawanan jika dia mahu dan berupaya menjadi tonggak utama pasukan gergasi tersebut di bahagian serangan.

Penyerang berbangsa Perancis tersebut haruslah bekerja lebih keras bagi membolehkan dia kembali beraksi di dalam kesebelasan utama pasukan Manchester United dan juga Perancis. Ketika ini posisinya dalam pasukan Manchester United dikongsi bersama pemain dari England, Marcus Rashford.