Tiga minggu selepas dibuang oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, menjuarai Masters Thailand.

Mereka percaya ada hikmah apabila sesuatu yang tidak diduga berlaku, ada perkara lebih positif akan dikecapi dengan sikap positif dan keyakinan yang tinggi.

Kemarau kejuaraan selama empat tahun berakhir buat bergu lelaki itu, yang kini terpaksa mencari ilham untuk meneruskan karier mereka sebagai pemain badminton profesional.

Adakah semangat mereka lebih membara selepas keluar daripada pasukan BAM?

Yew Sin dan Ee Yi, masing-masing sudah berusia 25 tahun dan 27 tahun, kecewa apabila dikeluarkan daripada naungan badan badminton negara itu, yang telah menjadi rumah mereka sejak berusia 13 tahun.

Terkejut mendengar berita buruk itu selepas latihan pada 4 Januari lalu, Ee Yi, yang pernah menjadi juara beregu remaja dunia bersama Nelson Heg pada 2011, mendapat keserasian bersama anak Melaka, Yew Sin, pada 2015.

Dugaan itu tidak menghentikan impian mereka untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dan lebih manis, jenama sukan ternama, Li-Ning Malaysia, bersetuju untuk menjadi penaja kepada Yew Sin-Ee Yi, yang akan berlatih bersama rakan profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, di bawah kendalian bekas pemain negara, Chew Choon Eng.

Kini di ranking ke-17 dunia, Yew Sin-Ee Yi merupakan satu-satunya pasangan profesional yang dipilih BAM untuk melengkapi pasukan badminton negara dalam Kejohanan Berpasukan Asia di Manila bermula 11 Februari ini.

Nyata, Yew Sin-Ee Yi menghadapi tamparan besar apabila dikeluarkan daripada BAM tapi kini mereka ‘menampar’ balik dengan keputusan cemerlang. Tahniah!