Ketika artikel ini dihasilkan, penulis baharu sahaja menyaksikan kejayaan Azizulhasni Awang yang menjuarai acara pecut di Velodrom Nasional, Nilai sekaligus pingat emas temasya Sukan SEA yang pertama dalam karier the "Pocket Rocket Man".

Penyertaan Azizul amat dinantikan seluruh peminat dan mereka dapat menyaksikan satu perlumbaan sengit antara juara dunia Keirin itu menentang Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang dianggap pengganti buat Azizul andai dia bersara nanti.

Lebih signifikan, emas itu adalah yang ke-111 buat kontinjen negara seperti yang disasarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam aspirasi untuk menjadi juara keseluruhan temasya, selaras dengan motto "Kita Juara" yang sentiasa tersemat di hati setiap atlit.

Berbaki dua hari lagi sebelum temasya melabuhkan tirai secara rasmi, kontinjen negara berpeluang menambah beberapa lagi koleksi pingat emas dengan acara tumpuan seperti badminton, pencak silat dan sudah pasti bola sepak lelaki.

Kejayaan merekodkan 111 pingat emas sudah menyamai pencapaian terbaik kontinjen negara dalam temasya dwi-tahunan ini di mana pencapaian itu dilakukan 16 tahun lalu yang juga kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah.

Apa juga perkiraan jumlah keseluruhan pingat emas yang direkodkan nanti, ia bakal menjadi satu penanda aras baharu buat generasi atlit berikutnya untuk menguji kemampuan mereka, berapa lamakah pula kita akan menunggu sebelum pencapaian itu dapat diatasi.

Tahniah diucapkan kepada semua atlit yang bekerja keras memastikan kejayaan milik anda dan juga Malaysia, teruskan usaha anda kerana lebih banyak cabaran besar menanti selepas ini, antaranya temasya Sukan Asia di Indonesia serta temasya Sukan Komanwel Glasgow pada tahun hadapan.

Kepada yang tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, anda tidak seharus berasa kecewa kerana penulis yakin masih ada ruang untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.

#KitaJuara!

Kredit foto: Media MASOC