Tiga daripada jurulatih terakhir Itali di Chelsea tertulis pelbagai trofi di bawah nama mereka. Sebaliknya, Maurizio Sarri mungkin dipecat seawal pagi esok.

Hanya kurang dari setahun lalu, Antonio Conte menghadiahkan The Blues Piala FA sebagai menyusuli kejayaannya menjuarai Liga Perdana Inggeris pada musim 2016/17 – musim pertamanya di Stamford Bridge.

Lima tahun mendahuluinya, Roberto Di Matteo lebih gemilang. Kejuaraan berganda menjadi peninggalannya apabila Chelsea memenangi Piala FA dan Liga Juara-Juara pada tahun yang sama pada 2012.

Sedikit mendahuluinya ialah Carlo Ancelotti yang mewariskan Perisai Komuniti (2009), kejuaraan Liga Perdana (2010) di samping Piala FA (2010).

Malah, jurulatih Itali yang mungkin paling berjaya di Chelsea ialah Gianluca Vialli dari 1998-2000. Senarai pencapaiannya tertulis Piala Liga (1998), Piala Cup Winners (1998), Piala Super UEFA (1998), Piala FA (2000) dan Perisai Komuniti (2000).

Satu-satunya jurulatih Itali tanpa pencapaian membanggakan bersama Chelsea ialah Claudio Ranieri (September 2000 hingga Mei 2004).

Dan Sarri – andai tidak dapat menghabiskan kontraknya – mungkin berada satu kapal dengan bekas jurulatih Leicester City yang kini bersama Fulham itu.

Andai kelima-limanya pun tidak mampu bertahan lama di Stamford Bridge, mampukah Sarri dilayan istimewa sedangkan tiada apa-apa trofi lagi yang mampu ditawarkannya?

Anehnya, Sarri memulakan kontrak tiga musimnya dengan rentetan tanpa kalah sepanjang tiga bulan pertama menduduki kerusi pengurus Chelsea.

Tapi jurulatih berusia 60 tahun itu, yang menghabiskan tiga tahun mengemudi Napoli sebelum dilamar Chelsea, kini bertarung untuk menyelamatkan masa depannya di kelab itu, dengan nasibnya bergantung kepada keputusan perlawanan ‘derby’ London dengan Tottenham, awal pagi esok.

Sebilangan pemain The Blues, seperti dilaporkan akhbar London Evening Standard, percaya Sarri akan dipecat andai Chelsea – baru tewas kepada Manchester City menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 dalam final Piala Carabao di Stadium Wembley, Isnin lalu – kalah lagi.

Khabarnya bekas jurulatih Chelsea dan penolong jurulatih England, Steve Holland, sudah dikenal pasti sebagai pengurus sementara andai Sarri terpaksa angkat bungkus.

Tidak hanya keputusan jauh daripada memberangsangkan di bawah pengawasannnya, Sarri juga dikatakan semakin hilang pengaruh di dalam bilik persalinan – pertelingkahannya dengan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga, menjelang penentuan sepakan penalti kelmarin turut tidak banyak mempermudah keadaan buatnya.

Hakikat bahawa hanya pemain pertahanan, David Luiz, yang dilihat bercakap dengan Kepa ketika saat genting itu -- kapten pasukan, Cesar Azpilicueta, sekalipun tidak ambil bahagian -- sekadar menyerlahkan tiada perpaduan dalam kalangan pemain yang jelas sekali tidak berdiri teguh di belakang pengurus dari Itali itu.

Secara kebetulan pula, Tottenham adalah pasukan yang menamatkan rekod tanpa kalah mereka penghujung November lalu.

Dan Tottenham – yang akhir-akhir ini dikritik hebat pengurusnya, Mauricio Pochettino, sebagai kekurangan kekuatan mental – mungkin kali ini menjadi penamat dalam meleraikan ikatan Chelsea dengan Sarri.

Dalam pada itu, ia juga bukan sesuatu yang Sarri tidak tahu, tambahan dengan perwatakan pemilik, Roman Abramovich, yang diketahui bukanlah seorang penyabar.