Persoalan siapa yang layak menjawat jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini memasuki episod baru apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) seakan tidak memberi restu jika Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mendapat mandat ahli gabungan untuk memimpin persatuan itu.

Dalam temubual bersama Nadi Arena baru-baru ini, Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John menegaskan FAM bakal mengundang risiko digantung badan bola sepak dunia, FIFA seandainya Khairy dipilih selaku Presiden FAM.

Penulis tidak nafikan Khairy memiliki kredibiliti memimpin FAM, malah beliau juga pernah berkhidmat selaku Timbalan Presiden FAM sebelum ini dan sudah pasti tahu apa penambah baikkan yang diperlukan persatuan itu.

Namun, penulis terkejut dengan beberapa ahli gabungan negeri yang mencalonkan beliau kerana seolah tidak peka dengan statut FIFA mengenai larangan campur tangan kerajaan dalam pentadbiran mana-mana persatuan bola sepak sesebuah negara.

Semua pihak juga perlu sedia maklum, FAM selaku persatuan sukan kebangsaan berada di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 dan akta itu terletak di bawah Pesuruhjaya Sukan yang berada di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Justeru, seperti ditegaskan Windsor konflik kepentingan pasti timbul jika Khairy dipilih sebagai Presiden FAM pada Kongres Pemilihan FAM ke-53 Mac ini.

Situasi FAM tidak boleh disamakan dengan Kesatuan Bola Sepak Rusia yang diterajui bekas Menteri Sukan negara itu, Vitaly Mutko kerana beliau tidak lagi menjawat tugas Menteri Sukan Rusia dan kini Timbalan Perdana Menteri negaranya.

Dengan ranking skuad negara kini di tangga 161 dunia, sudah pasti tindakan penggantungan dari FIFA akan terus memalapkan lagi masa depan bola sepak negara.

Apa pun, penulis percaya Khairy kini mungkin sedang mengkaji segala kemungkinan jika menjadi Presiden FAM dan kerana itu tidak memberi pengesahan sama ada akan bertanding atau tidak untuk jawatan itu.

Malah Khairy turut dilaporkan beberapa media arus perdana sebelum ini, bersedia memberi laluan buat pemilik kelab Johor Darul Takzim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi Presiden FAM sekiranya baginda mengesahkan akan bertanding di Kongres Pemilihan FAM.

Apa pun, segalanya terletak di tangan ahli gabungan negeri untuk memilih pucuk pimpinan baru FAM di Kongres Pemilihan persatuan itu bagi menentukan hala tuju FAM selepas ini.

Penulis seperti jutaan rakyat hanya mampu berharap, ahli gabungan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum memilih calon pilihan mereka.