Fauzi Pilus kekal selaku pengendali pasukan, selepas mengambil alih pada pertengahan musim lalu daripada bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan dan membariskan ramai muka baru musim ini.

Ketika ditemui Nadi Arena baru-baru ini, Fauzi akui saingan musim ini mencabar namun kekal optimis PDRM mampu memperbaiki pencapaian di tangga keenam Liga Super musim lalu.

"Selama dua musim sebelum ini, saya banyak belajar dari Dollah Salleh (bekas jurulatih PDRM) dan juga Azman yang memberi keyakinan buat saya mengendalikan pasukan sepenuhnya musim ini.

"Pihak pengurusan PDRM memang memberi kepercayaan kepada tenaga kejurultihan di kalangan anggotanya musim ini, tetapi mereka sudah meraih pengalaman di peringkat Piala Presiden dan Belia sebelum ini, saya percaya mereka juga sudah bersedia menghadapi cabaran musim ini dan saya yakin dengan kemampuan tenaga kejurulatihan musim ini, kata Fauzi yang baru menerima kenaikan pangkat sarjan awal tahun ini.

Musim ini menyaksikan Fauzi dibantu dua penolong jurulatih, Anuar Udin dan Rohaizan Md Ribi serta jurulatih penjaga gol, Mohd Atfan Hat.

Anuar membimbing skuad Piala Presiden PDRM ke peringkat separuh akhir musim lalu, manakala Rohaizan mengendaikan skuad Piala Emas Raja-Raja PDRM.

Sebelum ini, dua anggota PDRM terakhir yang melatih pasukan itu ialah K Thayanathan (2006-2010) dan R Nalathamby (2011-2013).

Barisan PDRM bimbingan Fauzi musim ini berwajah baru, dengan ketiadaan nama-nama besar tempatan membarisi pasukan.

Namun, PDRM tampak seperti pasukan yang tetap mampu mencabar dengan kemasukan tonggak baru seperti bekas pertahanan serba boleh Lions XII, Safuwan Baharudin dan bekas perancang Johor Darul Takzim, Andrezinho.

Bekas pertahanan Terengganu dan T-Team, Faizal Muhammad antara tonggak tempatan yang turut menguatkan pasukan selain penyerang import Maldives, Ali Ashfaq turut dikekalkan.

"Memang ramai pemain musim ini adalah pemain yang sukar mendapat tempat bersama pasukan lama mereka sebelum ini.

"Tapi saya yakin dengan kemampuan pemain PDRM musim ini dan saya percaya kami mampu melakukan sesuatu musim ini," kata Fauzi.