Alexis Sanchez harus mengharapkan ketibaannya di Old Trafford dialu-alukan tetapi salah satu layanan yang diterimanya sama-sekali di luar dugaannya.

Ia adalah rentetan kehambaran yang dipamerkannya sejak menyertai Manchester United dari Arsenal pada hari-hari terakhir jendela perpindahan pertengahan musim pada Januari lalu.

Di sebalik menjadi pemain bergaji terbesar dalam Liga Perdana Inggeris -- £600,000 (RM3.3 juta) seminggu – segala-galanya bukanlah selancar dan sesempurna yang diharapkan bekas pemain Barcelona itu.

Dengan hanya satu gol selepas 10 perlawanan -- itupun susulan daripada sepakan penaltinya yang ditampan ketika menentang Huddersfield pada 3 Februari lalu -- Sanchez bagaimanapun harus menunggu beberapa perlawanan lagi untuk melihat reaksi sebenar rakan-rakan sepasukan barunya itu.

Terikat 0-0 dalam separuh masa pertama perlawanan peringkat kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara di Old Trafford, 14 Mac lalu, rakan-rakan sepasukan tidak lagi dapat bersabar dengannya ketika di bilik persalinan sewaktu rehat.

Mereka beramai-ramai mengeroyoknya gara-gara apa yang dilihat sebagai sikap acuh tak acuhnya sepanjang 45 minit pertama itu.


Sanchez hanya diberi pemarkahan 3/10 dalam perlawanan dengan Sevilla ini

Seperti dilaporkan akhbar The Mirror, mereka tidak berpuas hati dengan kegagalannya untuk turun bertahan apabila United hilang penguasaan bola dengan membiarkan peranan itu dipikul pemain-pemain lain.

Mereka marahkannya kerana bermain mengikut kemahuannya sendiri dan pentingkan diri di samping bersikap tidak endah untuk menutup ruang buat rakan sepasukan yang terkeluar daripada posisi selepas serangan mereka dipatahkan.

Pesanan paling lantang yang disuarakan mereka beramai-ramai ialah Sanchez perlu mempamerkan aksi lebih hebat di Old Trafford daripada apa yang pernah dipertontonkannya di Stadium Emirates.

The Mirror menambah bahawa Sanchez tidak pun menunjukkan reaksi bersalah melainkan mengangkat-angkat bahunya, yang sekadar meningkatkan lagi suhu di dalam bilik persalinan ketika itu.

Tiada perubahan ditunjukkan pemain Chile itu sejurus permainan bersambung sebagai menunjukkan sikap keras kepalanya kerana diperlakukan demikian.

Akhbar Manchester Evening News hanya memberikan pemarkahan 3/10 kepada Sanchez dalam perlawanan itu.

Bukan menghairankan, United tewas perlawanan itu 1-2 kepada dua gol Wissam Ben Yedder pada minit ke-74 dan 78 tanpa jaringan lewat Romelu Lukaku pada minit ke-84 mampu menyelamatkan mereka daripada tersingkir daripada saingan Eropah.

Dan sebagai hukumannya, Sanchez disisihkan ke bangku pemain simpanan ketika The Red Devils menyingkirkan Brighton 2-0 dalam suku akhir Piala FA, empat hari selepas itu.


Rakan-rakan sepasukan menuduh Sanchez acuh tak acuh dan pentingkan diri sendiri

Sejak itu juga, timbullah cerita penyerang berusia 29 tahun itu kerap menyendiri dan makan berseorangan setiap kali selepas latihan kelab di Carrington.

Namun, ia sudah diperjelaskan perkara itu disebabkan Sanchez gemar menyambung untuk berlatih bersendirian selepas selesai setiap sesi latihan.

“Dia sering berlatih bersendirian untuk sepakan percuma dan membuat rembatan. Pada waktu dia selesai mandi dan menukar pakaian, majoriti rakan sepasukannya sudah selesai makan dan meninggalkan tempat latihan,” kata satu sumber kelab kepada Daily Star.

Namun, masih banyak yang perlu dilakukannya dalam perlawanan agar tidak ditinggalkan bersendirian selepas ini.