16 November 1997.

Tarikh yang sentiasa akan diingati peminat bola sepak Jepun kerana pada waktu itulah buat julung kali skuad Samurai Biru melayakkan diri ke saingan Piala Dunia.


Pertemuan play-off di Stadium Larkin, Johor Bahru itu menemukan Jepun dan Iran selepas masing-masing menamatkan kempen peringkat kumpulan di tangga kedua dengan pasukan yang tewas perlu berdepan satu lagi aksi playoff menentang wakil dari Oceania.

Iran yang ketika itu diterajui oleh Ali Daei serta Khodadad Azizi turun sebagai pilihan dengan Jepun mempertaruhkan bakat yang dimiliki Hidetoshi Nakata.

Kedudukan 2-2 kekal tamat 90 minit permainan dengan peraturan "jaringan emas" menjadi penentu siapa yang akan mendapat tiket untuk wakili Asia di Perancis pada Piala Dunia 1998.

Masayuki Okano muncul wira buat Jepun dengan jaringan kemenangan pasukannya dan sejak daripada itu, mereka tidak lagi menoleh ke belakang.

Setiap edisi Piala Dunia sejak 1998 menyaksikan Jepun tidak terlepas untuk melayakkan diri (edisi 2002 mereka layak secara automatik selaku tuan rumah bersama Korea Selatan) dan kini menjadi antara kebanggaan benua Asia.

Pencapaian terbaik mereka di peringkat tertinggi itu setakat ini adalah pusingan 16 terbaik sebanyak dua kali iaitu pada 2002 dan 2010 di Afrika Selatan.

Berdasarkan persembahan semasa di Rusia kali ini, Jepun pastinya ingin mara lebih jauh lagi dan kemenangan ke atas Colombia dalam aksi pembukaan kumpulan H di samping terikat 2-2 dengan Senegal meletakkan mereka di kedudukan selesa untuk lepasi kumpulan berkenaan.

Satu lagi keputusan positif menentang Poland pastinya terus melonjakkan semangat Samurai Biru sekaligus membuktikan Asia tetap punyai pasukan yang mampu bersaing di peringkat tertinggi ini.