Dalam tempoh enam musim kebelakangan ini, skuad Kuala Lumpur sukar mengekalkan aksi konsisten mereka dalam saingan Liga Super serta mengembalikan reputasi mereka sebagai antara kuasa besar bola sepak tempatan seperti era lewat 80an dan awal 90an dulu.

Ketika itu nama trio import Kuala Lumpur dari Singapura, Fandi Ahmad, Malek Awab dan K. Kannan sentiasa meniti di bibir peminat tempatan. Selepas itu, skuad Kuala Lumpur mengalami kemerosotan walaupun masih menghasilkan beberapa produk berkualiti seperti Azman Adnan, Azrul Amri Burhan dan Azmin Azram Abdul Aziz.

Namun, skuad musim 2021 yang kini dikendalikan Bojan Hodak, tampak memberi harapan berlandaskan barisan pemain yang dihimpunkan untuk musim ini dalam menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Gabungan tonggak berpengalaman seperti Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin dan Shukor Adan bersama pemain yang merupakan produk Kuala Lumpur seperti Hadin Azman dan Irfan Zakaria jelas memberi bayangan positif.

Ditambah dengan gandingan import yang sinonim dengan kancah Liga Super seperti Romel Morales, Paulo Josue dan Dominique da Sylva, pasti menambah lagi ramuan berkualiti untuk dicanang Hodak musim ini.

Daripada segi pengurusan, dengan dasar penswastaan setiap pasukan kepada FC menyaksikan skuad warga kota kini dikenali sebagai Kuala Lumpur United FC (KLUFC) dengan bekas pemainnya, Stanley Bernard, menggalas tugas selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Ketika majlis pelancaran KLUFC yang disiarkan secara langsung saluran 801/802 HD Astro Arena Sabtu lalu, ia menarik untuk melihat kelibat Preisden KLFA merangkap ahli lembaga pengarah KLUFC duduk semeja dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika sidang media.

Meskipun berbeza pandangan politik, kedua-dua tokoh itu tampak sedia bekerjasama demi bola sepak di Kuala Lumpur. Meskipun kini era FC sepenuhnya, KLUFC jelas memerlukan sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan buat permulaan sebelum berdikari sepenuhnya.

Perlu diingat, Annuar juga adalah mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ketika zaman kegemilangan pasukan itu mendominasi Liga M dari 2009 hingga 2013 serta pernah menjadi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Justeru, KLUFC juga pasti boleh merujuk dan meminta pandangan Annuar dalam usaha memantapkan lagi pengurusan serta pasukan secara keseluruhannya.

Apa pun, masih terlalu awal untuk mengatakan skuad "Warga Kota" akan muncul antara pencabar utama saingan Liga Super musim ini kerana kini pemain-pemain perlu bekerja keras dalam memastikan barisan skuad Warga kota musim ini benar-benar ampuh.

Setakat ini, Stanley melakukan usaha yang baik dalam membantu Hodak membentuk barisan pasukan yang berdaya saing untuk saingan musim ini.

Tetapi perjalanan masih panjang dan KLUFC juga perlu mula merangka perancangan jangka panjang bagi memastikan pasukan mempunyai "sustainability" dan salah satu cara ialah memastikan mereka turut memiliki skuad Belia Bawah 19 dan Piala Presiden yang berdaya saing.

KLUFC juga perlu bijak merangka aktiviti atau program yang boleh mengembalikan semula ribuan penyokong Kuala Lumpur seperti era 80an dan 90an dulu.

Bagi penulis, skuad yang dimiliki Kuala Lumpur musim ini boleh dikatakan yang terkuat sejak skuad 2016 ketika dikendalikan Ismail Zakaria dan juga lebih lengkap berbanding skuad 2017 & 2018 ketika dikendalikan Fabio da Silva.

Tiada jaminan untuk mengatakan mereka mampu meraih kejuaraan, tetapi tidak salah jika penulis melabel KLUFC sebagai pasukan 'dark horse' musim ini yang mampu melakar kejutan.

*kredit foto: Kuala Lumpur United