Setiap kali ada panggilan untuk mewakili skuad kebangsaan di saat liga sedang berlangsung sama ada untuk skuad senior atau belia, pasti timbul isu di mana pasukan negeri atau kelab tidak melepaskan pemain kerana khidmat mereka diperlukan untuk mengharungi saingan kompetitif tempatan.

Terbaru, skuad B-22 kebangsaan berdepan masalah serupa apabila tidak mendapat kerjasama dari pasukan negeri dan kelab untuk kejohanan AFF di Kemboja yang akan berlangsung pada 17-26 Februari depan. Ada sesetengah pihak yang beranggapan kejohanan ini adalah kejohanan kelas dua dan lebih baik tumpuan diberikan kepada perlawanan liga tempatan.

Namun bagi penulis, kejohanan di Kemboja ini adalah medan terbaik buat Datuk Ong Kim Swee menguji keserasian pemain-pemainnya dan ini merupakan persediaan akhir sebelum skuad sama akan mengharungi kelayakan Kejohanan AFC B-23 untuk menempah slot ke Sukan Olimpik 2020.

Tiada siapa harus dipersalahkan dalam hal ini kerana setiap pihak pasti memikirkan kepentingan mereka terlebih dahulu dan buat masa sekarang, ada pasukan yang lebih mementingkan saingan tempatan berbanding mewakili negara. Penulis tidak mahu menyebut secara terperinci individu-individu yang terlibat, namun berharap agar perkara ini dapat diselesaikan secara “menang-menang”.

Antara pemain tonggak yang tidak mendapat pelepasan pasukan mereka adalah Muhammad Danial Amier Norhisham dan Muhammad Zahril Azri daripada Felda United, kemudian Faisal Abdul Halim (Pahang), Syahmi Safari (Selangor) serta Fadzrul Daniel Nizam (Kedah).

Justeru, Kim Swee terpaksa memanggil beberapa nama lain antaranya K. Thivendran yang bermain untuk Petaling Jaya City FC selain Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham dari Negeri Sembilan.

Diharapkan kemelut yang melanda skuad B22 negara ini dapat diselesaikan segera agar tumpuan boleh diberikan sepenuhnya kepada persiapan pasukan agar mampu menghasilkan keputusan positif di Phnom Penh nanti.