Menjadi pemain terbaik dunia sebanyak empat kali bukan bermakna Cristiano Ronaldo akan sentiasa dipuja-puja, bahkan acap kali juga bintang Portugal itu dikritik hebat.

Situasi itu turut dihadapi oleh satu-satunya nama yang sering dilaga-lagakan dengannya, siapa lagi kalau bukan Lionel Messi.

Awal pagi tadi, Ronaldo merakamkan penampilannya yang ke-700 bersama Real Madrid dengan gol ke-15 peribadinya dalam kempen LaLiga musim ini.

Dia melonjak tinggi untuk menyambut hantaran lintang Marcelo bagi mengatasi dua pemain pertahanan sebelum melepaskan satu tandukan padu menghala ke pintu gol Valencia.

Akan tetapi, gol itu masih belum dapat menyekat kekalahan 2-1 Los Blancos kepada Valencia selepas dikejutkan dengan gol awal tuan rumah dalam tempoh sembilan minit.

Dengan angka gol itu, bagi penyerang biasa, ia masih lagi dilihat suatu pencapaian yang hebat.

Bezanya, dia adalah Ronaldo -- pemain sayap yang telah merekodkan lebih 500 gol sepanjang kariernya.

Pemerhati akan sentiasa membandingkannya bersandarkan statistik gol.

Messi, juga tidak terkecuali dengan kritikan.

Bahkan, Isnin lalu, pemenang Ballon D’Or sebanyak lima kali itu memberi isyarat protes dengan tidak meraikan jaringannya ke atas Leganes gara-gara kekalahan teruk 4-0 kepada Paris Saint-Germain, minggu lalu.

Bagi peminat, kedudukan Barcelona di tangga kedua LaLiga langsung tidak boleh diterima.

Walhal, dia telah merakamkan 19 gol dalam LaLiga dan 10 gol lagi dalam kempen Liga Juara-Juara, sepanjang musim ini.

Messi yang kini berusia 30 tahun, sudah tentu perlu mengadaptasi peranan barunya, lebih banyak bergerak di bahagian tengah, sekaligus mencipta ruang buat Luis Suarez dan Neymar untuk lebih bebas mengacah pintu gol lawan.

Baik Messi mahu pun Ronaldo, mereka mempunyai persamaan ketara, iaitu mampu menjanjikan purata 30 gol setiap musim dalam tempoh 10 tahun terakhir ini.

Mereka menjadi dambaan bukan hanya kerana trofi yang diraih, malah keghairahan, keringat yang dicurahkan dan disiplin yang mereka lalui, menjadikan mereka berbeza dalam kalangan bintang-bintang handalan dunia yang lain.

Kadang-kala, statistik membuatkan kita lupa bahawa mereka semakin dimamah usia.

Namun, setakat ini dominasi anugerah Pemain Terbaik Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) masih belum ada tanda-tanda akan berpindah tangan kepada pemain lain sejak 2008.

Saya percaya kemerosotan prestasi mereka ketika ini berkait rapat dengan jadual padat yang diharungi mereka sejak musim panas lalu.

Masing-masing kurang mendapat rehat secukupnya kerana begitu sibuk dengan komitmen bersama kelab mahupun di peringkat antarabangsa.

Kedua-duanya pasti akan bangkit sedikit masa lagi, dan sebagai peminat kepada kedua-dua pemain ini, lebih baik kita menikmati aksi-aksi mereka kerana pada masa akan datang, entah bilakah 'makhluk-makhluk asing' seumpama ini akan turun menghiburkan kita lagi.