Sudah ada suara mula mempersoal kemahuan atau lebih tepat kemampuan Datuk Lee Chong Wei untuk terus beraksi di pentas tertinggi dunia waktu usia menghampiri senja.

Kejohanan Dunia 2017 Glasgow Scotland dalam perancangan, Piala Thomas 2018 dalam pemikiran malah penampilan Olimpik Tokyo 2020 tidak jadi misalan yang mustahil.

Kenapa Chong Wei mahu terus mengerah keringat buat Malaysia sedangkan jika esok dia memutuskan untuk mengantung raket, nama dia akan tetap dijulang sebagai legenda dunia.

Tidakkah dia serik untuk sekali lagi berputih mata di pentas final, seperti di tiga Kejohanan Dunia dan juga di tiga Olimpik.

Apakah dia tidak mengenal erti penat untuk mendukung aspirasi setiap rakyat Malaysia bersandarkan Jalur Gemilang di dada.

Atas dasar inilah mengapa Chong Wei dijulang sebagai ikon dunia dan kebanggaan sepanjang zaman buat sukan Malaysia.

Tetapi gusar memikirkan apabila tiba saat Chong Wei berada di bawah, kerana sifat kagum mudah berubah menjadi kecaman.

Bimbang dengan kritikan yang mendatang jika sang veteran ini hanya menjadi pelengkap kepada cerita kemenangan bintang meningkat naik dunia.

Luluh hati kalau ada yang zahirkan ungkapan seperti "Sampai bila Chong Wei ni nak main,tak ada orang lain ke"

Itu juga hakikatnya,belum ada pemain,khusunya daripada kalangan kudrat muda negara yang mampu memaksa dia untuk menyerahkan tanggungjawab sebagai harapan Malaysia.

Mungkin hati dia lebih berat andai meninggalkan badminton Malaysia yang gah di mata dunia dalam kegelapan.

Walauapapun, selagi Chong Wei berada dalam gelanggang kompetitif atas nama Malaysia, dia berhak menerima sokongan tanpa prejudis daripada anda.

Percayalah, akan tiba waktu dia mahukan semangat anda lebih daripada kita perlukan dia untuk senantiasa mengharumkan nama negara.

Buat Datuk Lee Chong Wei "Sampai bila datuk nak terus main badminton,silakan," tidak kira menang atau kalah, entiti yang menyokong akan melebihi bilangan yang mengkritik.