Jika mengimbas kenangan Sukan Sea 2017 yang lalu, sudah pasti ramai yang tidak mungkin melupakan detik keemasan skuad ragbi kebangsaan yang meraih emas buat julung kalinya. Semenjak itu, banyak pihak telah membuka mata akan impak sukan ragbi dalam pembangunan sukan negara.

Baru-baru ini, Intan berpeluang mengikuti perkembangan dan persediaan bersama dua pemain ragbi kebangsaan untuk ke temasya yang lebih besar iaitu Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia.

Mohamad Safwan Abdullah atau lebih dikenali dengan nama “Apang” dan Muhammad Zulhisham Rasli atau “ Issey” memberitahu, mereka baru pulang dari dua kejohanan di Sydney Australia bulan lalu, dalam saingan Whale Curry Memorial 2018 dan Lake Macquarie 2018.

Mereka berkongsi akan pengalaman yang cukup berharga dalam kejohanan tersebut dimana pengalamandi sana benar-benar telah membantu mereka mempersiapkan diri ke Sukan Komanwel nanti.

Safwan teruja dengan peningkatan yang telah dilakukan oleh skuad ragbi setelah menimba ilmu di sana dan kagum dengan pembangunan ragbi di sana yang telah melibatkan kanak-kanak seawal usia pra sekolah.

Dalam saingan Komanwel nanti, Malaysia diundi bersama pasukan Afrika Selatan, Scotland dan Papua New Guinea. Dalam keempat-empat pasukan ini, Malaysia berada di ranking yang terbawah namun Zulhisham ada pendapat tersendiri.

“Saya tidak ada perasaan gerun atau rendah diri hanya kerana ranking kita di bawah. Kedudukan di bawah tidak bermakna kita tidak dapat memberi tentangan hebat kepada mereka. Kami akan buktikan," jawab Issey apabila ditanya tentang moral pasukan.

Skuad ragbi kebangsaan tujuuh sepasukan juga cukup bertuah apabila turut mendapat peluang berlatih di bawah pengawasan bekas kapten New Zealand All Blacks, Derek Jamie Forbes atau dikenali dengan DJ Forbes.

DJ Forbes berpendapat, skuad Malaysia adalah pasukan yang telah lengkap, dari segi kelajuan, pertahanan dan corak permainan yang begitu baik. Biarpun saiz badan agak kecil berbanding dengan pasukan lain, namun itu tidak menjadi halangan buat Malaysia turun sebagai pasukan yang patut digeruni.