"Saya akan guna pengaruh kapten di Pahang untuk Saddil Ramdani."

Itu ayat bersahaja yang diluahkan pemain negara, Matthew Davies, sambil berseloroh beberapa jam sebelum berlepas ke Jakarta dua hari lalu.

Keakraban kedua-dua pemain itu terserlah setiap kali penulis membuat liputan di Pahang Darul Makmur malah Saddil juga tampak mesra dengan tiga lagi pemain Pahang yang turut menyarung jersi negara, iaitu Mohamadou Sumareh, Nor Azam Azih dan Norshahrul Idlan Talaha.

Tetapi dalam masa singkat, mereka terpaksa menjadi seteru dalam tempoh 90 minit permainan yang akan berlangsung malam ini di Stadium Gelora Bung Karno.

Sebaik nama Saddil Ramdani diumumkan sebagai salah satu kekuatan Indonesia di saat akhir, ramai beranggapan Saddil umpama mata-mata yang diutus Simon McManemy.

Ternyata kekuatan dan kelemahan Malaysia sedikit sebanyak mampu dibaca pemain muda ini dan sudah pasti ia menjadi pegangan McManemy beberapa jam sebelum sepak mula di Gelora Bung Karno.

Selain Saddil, dua lagi pemain Indonesia, Andik Vermansah dan Evan Dimas, bukan asing dalam saingan Liga Malaysia.

*Kredit foto: Footbal Tribe