Lionel Messi tetap tidak berganjak daripada pendiriannya untuk angkat kaki dari Barcelona. Presiden kelab itu, Josep Maria Bartomeu, pula enggan melepaskannya kecuali ada pihak yang sanggup membayar klausa pelepasan pemain itu bernilai €700 juta (RM3.45 bilion).

Jumlah sebesar itu harus akan menutup minat mana-mana kelab sekalipun yang menginginkan khidmatnya tapi ia mungkin tidak memerlukan penyelesaian sedemikian kerana kedua-dua pihak masih boleh memilih jalan tengah.

Lantaran itu, pertemuan empat mata di antara bapa Messi yang juga ejennya, Jorge Messi, dan Bartomeu yang dijadualkan lewat hari ini, bakal mencari kata putus untuk menghindarkan “saga Messi” ini daripada berpanjangan.

Akhbar sukan harian Sepanyol, Marca, melaporkan Jorge sudah berada di Barcelona selepas mengambil penerbangan dengan sebuah jet persendirian dari Rosario, Argentina, untuk merundingkan situasi ‘menang-menang’ bagi kedua-dua pihak.

Kedudukan masing-masing adalah jelas.

Di satu pihak, Messi mahu meninggalkan Barcelona, dengan kepercayaan dia mampu melakukannya secara percuma dalam jendela perpindahan yang sedang terbuka sekarang.

Di pihak yang berbeza, Barcelona enggan kehilangan kapten mereka itu dan berkeras dengan pendirian bahawa klausa pelepasannya masih terpakai.

Dalam pada itu, segala-galanya menjadi pertaruhan buat Bartomeu dalam saga ini. Jika membenarkan Messi untuk meninggalkan pasukan, maka dia akan dikenang selaku presiden kelab yang melepaskan kedua-dua Messi dan Neymar dalam tempohnya mempin Barca.

Bartomeu sebenarnya sudah awal-awal lagi memulakan percaturannya dengan menawarkan untuk meletakkan jawatan andai Messi menyatakan secara terbuka bahawa dialah (Bartomeu) yang menjadi punca keinginannya untuk angkat kaki.

Pemilihan presiden kelab tidak jadualkan sehingga tahun depan tapi Bartomeu – yang berdepan desakan peminat Barca agar melepaskan jawatannya sebagai menunjukkan sokongan mereka terhadap Messi – memilih untuk melontarkan cabaran kepada pemain itu.

Messi pula, dalam reaksi balasnya, mengelakkan cabaran itu umpama gerakan liciknya melepasi pertahanan lawan di atas padang.

Pun begitu, Bartomeu masih mampu mendapatkan Jorge untuk bersemuka dengannya sambil percaya pertemuan empat mata lewat hari ini akan mampu meyakinkan Messi untuk kekal.



Dia dikatakan akan menawarkan kontrak baru sehingga 2022 dengan butir-butir yang sudah dipersetujui pemain itu beberapa bulan lalu.

Klausa pelepasan yang tertulis dalam kontrak terdahulunya akan terus berkuat kuasa, yang bermakna dia hanya boleh meninggalkan pasukan pada akhir musim depan.

Bartomeu, bagaimanapun, perlu menggunakan sepenuhnya skil rundingannya kerana hasrat Messi yang akan disampaikan melalui bapanya ialah untuk keluar dari Camp Nou dalam jendela perpindahan ini.

Jika rundingan menemui jalan buntu, Bartomeu harus tidak mampu menuntut €700 juta kerana Messi dan peguamnya memiliki hujah perundangan untuk menentang perkara itu.

Messi, yang seboleh-bolehnya mahu mengelakkan pertikaian ini daripada berlanjutan ke mahkamah, harus mendesak Barcelona menyatakan yuran perpindahan yang dianggap munasabah agar mampu dibida kelab seperti Manchester City atau Paris Saint-Germain (PSG).

Andai itu dapat dipersetujui, Messi akan bebas untuk memutuskan haluan barunya.

Saga Messi-Barca ini sudah semakin hampir ke kemuncaknya.