26 Oktober bukan Sabtu biasa. Rancangan bersiar bersama keluarga ataupun memenuhi undangan perlu dirancang teliti agar tidak terlepas peristiwa bersejarah.

Nak mula yang mana dahulu pun tak keruan disebabkan cerita malam Sabtu penuh kejutan. Tetapi lebih afdal saya mulakan dengan tumbangnya All Blacks di Piala Dunia.

Tidak dinafikan peningkatan pasukan lain menjadikan sokongan kepada juara bertahan ini sedikit merosot.Namun populariti All Blacks tetap menyerlah dan kekal di ranking pertama Kesatuan Ragbi Dunia sehingga 25 Oktober 2019 ( ranking berubah setiap hari semasa kejohanan Piala Dunia ).

Kemaraan ke separuh akhir dianggap anti klimaks apabila 2 pasukan terbaik bertemu lebih awal dan bukannya di final, New Zealand di ranking pertama manakala England di ranking kedua.

Seperti edisi 2015, New Zealand dicabar hebat Afrika Selatan ketika itu sebelum mara ke final dengan kemenangan tipis 20 - 18 diikuti kejuaraan menewaskan Australia di final. Cerita di Jepun pula terbalik dan mendukacitakan peminat All Blacks.

England sudahpun mencabar New Zealand ketika All Blacks mempersembahkan 'trademark' Haka mereka di Yokohama. Pemain - pemain England gagal berada di posisi 10 meter dari Haka sehingga memaksa pegawai perlawanan mengarahkan skuad England berundur.

Tetapi rupanya itu petanda juara 2003 ini mahu menumbangkan New Zealand, dan buktinya England menang ke atas juara 3 kali All Blacks, 19 berbalas 7. 4 penalti diperolehi England beri kelebihan untuk mereka ke final berdepan Afrika Selatan.

Bukan itu sahaja, ranking New Zealand jatuh ke tangga ke 3 dengan England mengambil alih ranking pertama diikuti Spring Bok.

Di sebelah malamnya pula separuh akhir Piala Malaysia yang penuh drama dan gila ! Maksud saya perlawanan antara Pahang dan Kedah di Kuantan. Tidak menyangka Kedah mampu melenyapkan harapan Tok Gajah apatah lagi dengan aggregat 8 - 8 dan peraturan gol di tempat lawan.

Pejam mata dan bayangkan bagaimana Kedah goyah di Alor Setar dan Pahang bawa pulang 3 gol di tempat lawan. Memang mustahil buat Lang Merah bangkit di Darulmakmur tetapi tidak ada yang mustahil buat Kedah.

10 gol terhasil dengan 5 daripadanya milik Kedah sudah cukup buat penyokong Pahang pening memikirkan kerja gila skuad Lang Merah.

Syabas buat England dan Kedah... Semoga berjaya di final.

Hari Sabtu yang gila tetapi menyeronokkan !