Robin Van Persie, penyerang dari Belanda yang kini bermain untuk kelab Turki, Fenerbahce, dikatakan sedang melalui zaman ‘kegelapan’, gara-gara prestasi buruk di atas dan juga di luar padang.

Hanya beberapa musim lalu, Van Persie merangkul pelbagai anugerah individu, termasuk Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA), Pemain Terbaik Tahunan FWA, anugerah pemain terbaik Penyokong PFA dan memenangi kasut emas dalam Liga Perdana Inggeris.

Lapan tahun menyarung jersi Arsenal, Van Persie menyatakan hasrat untuk memenangi Liga Perdana Inggeris, tetapi kemudian berhijrah ke Manchester United pada musim 2012/2013.

Bagaikan menerima nafas baru,Van Persie, atau juga dikenali sebagai RVP terus menyinar di bawah kendalian Sir Alex Ferguson, apabila sekali lagi menjadi penjaring terbanyak liga, dan membantu Manchester United memenangi liga pada musim tersebut.

Pada musim yang sama, dia juga beraksi cemerlang di peringkat antarabangsa, apabila dinobatkan penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak Belanda, mengatasi pemegang rekod sebelum ini, Patrick Kluivert.

Tetapi, semuanya mula berubah apabila berakhirnya 2012/2013, musim terakhir Sir Alex Ferguson bersama Manchester United.

Di bawah kendalian David Moyes, RVP banyak menghabiskan masa untuk pulih daripada kecederaan. Walaupun masih menjaringkan gol (18 gol daripada 28 perlawanan), RVP tampak kurang cemerlang di atas padang, nasib yang sama menimpa semua rakan pasukannya di bawah kendalian Moyes.

Di Brazil, RVP seakan-akan kembali ke prestasi terbaik apabila menjaringkan gol tandukan yang masih jadi ingatan semua peminat sewaktu Belanda menentang Sepanyol. Diikuti pula dengan berita pengurusnya di Belanda, Louis Van Gaal, akan menjadi pengurus Manchester United, ramai menjangkakan Van Persie akan sekali lagi menyengat di peringkat kelab.

Namun, mimpi tidak menjadi kenyataan apabila Van Persie ternyata gagal untuk meningkatkan prestasinya sebagai seorang penyerang berbisa.

Digandingkan dengan Radamel Falcao, Van Persie hanya menjaringkan 12 gol pada musim 2014/2015 dan dia kelihatan tidak gembira setiap kali bermain. Keputusan Van Gaal untuk menamakan Wayne Rooney sebagai kapten pasukan juga tidak membantu, di mana ramai yang menjangkakan RVP yang akan mengetuai Red Devils di bawah kendalian Louis Van Gaal.

Prestasi buruk RVP di atas padang membawa kepada spekulasi bahawa dia dan Van Gaal tidak lagi sehaluan.

RVP mula mengkritik dan mengatakan bahawa dia tidak diberi peluang yang mencukupi manakala Van Gaal pula mengatakan sudah banyak peluang yang diberi untuk penyerang itu.

Keadaan itu menyaksikan Fenerbahce mencuba nasib mereka, dan akhirnya berjaya mendapatkan RVP dengan harga yang murah, dengan status sebagai penyerang bertaraf dunia, sambil mengharapkan peluang bermain di Turki akan membantu dia mengembalikan prestasi cemerlangnya.

Namun, RVP terus mengecewakan peminat apabila dia terus gagal memberi persembahan yang baik, dan banyak menghabiskan masa di bangku simpanan sahaja.

Kekecewaannya turut dirasai mereka yang lain, apabila RVP sering mengadu akan kurang masa bermain, dan dikatakan terlibat dalam insiden pergaduhan dengan Memphis Depay sewaktu sesi latihan skuad Belanda.

Menjaringkan gol sendiri, dan gagal membawa Belanda ke Euro 2016 menjadi satu tanda besar akan kejatuhan prestasi RVP, dan namanya juga tidak tersenarai untuk bersama skuad Oranje baru-baru ini.

Teman sepasukan, Wesley Sneijder, mengatakan bahawa RVP mampu bangkit, tapi harus keluar dari zaman kegelapannya.

Pelbagai faktor yang boleh dikaitkan dengan kejatuhan prestasi RVP. Faktor usia, persaraan Sir Alex Ferguson (seperti yang dijangkakan oleh Rio Ferdinand) dan bermain bukan di tahap yang pernah dilaluinya adalah beberapa punca kejatuhan.

Bagaimanapun, RVP harus bangkit kembali daripada prestasi buruk ini jika dia ingin mengakhiri kerjayanya dalam bola sepak, diiringi dengan penghormatan .

Pada usia menjangkau 32 tahun, RVP masih lagi mampu menjadi penyerang utama untuk kelab di Eropah, tapi harus mula mencari kembali rentak permainan yang menjadikannya salah seorang penyerang terbaik dunia.