DALAM bukunya bertajuk ‘Beyond Dreams’ yang diterbitkan pada 2013, bekas Setiausaha Agung, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan, menyentuh mengenai keruntuhan bola sepak Malaysia.

Pada muka surat 133 dan 134 buku berkenaan, Velappan menyenaraikan tujuh sebab kemerosotan itu.

Berikut catatannya:

1. Remaja Malaysia berbakat dalam sukan secara umum dan bola sepak secara khusus tetapi kita tidak mempunyai sistem untuk memupuk dan mengasah bakat mereka secara sistematik dan teratur, maka bakat yang ada tidak dikembangkan sebaik-baiknya.

2. Pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pasif agak lama tanpa sebarang idea baharu untuk pembangunan. Tiada aktivisi dalam FAM yang boleh mengejutkan badan itu daripada lena.

3. Empat belas ahli gabungan FAM juga dalam keadaan yang sama tanpa kepimpinan yang dinamik. Lemah daripada segi pengurusan aktiviti dan pentadbiran.

4. Pasukan di setiap lapisan – kebangsaan, negeri, daerah dan sekolah pada era 60-an dan 70-an -- menggambarkan masyarakat majmuk. Hari ini, remaja Cina tidak lagi bermain bola sepak dan jumlah pemain berketurunan India kian berkurangan. Ini bermakna 45 peratus daripada jumlah penduduk negara tidak bermain bola sepak, antaranya berpunca daripada dasar-dasar kerajaan yang bersifat perkauman.

5. Sekolah adalah tempat melahirkan bakat menerusi program pendidikan sukan dan jasmani. Subjek ini tidak begitu diutamakan disebabkan kurangnya kemudahan sukan serta guru dan jurulatih bertauliah.

6. Generasi anak-anak hari ini berbeza dengan cara generasi terdahulu melihat sukan dari sudut pendidikan sekolah. Sikap ibu bapa yang mengutamakan pencapaian akademik turut mempengaruhi anak-anak yang lebih banyak menghadiri tuisyen serta menghabiskan masa dengan telefon pintar dan komputer.

7. Bola sepak Malaysia kekurangan struktur teras yang perkasa, pengurusan organisasi dan urus tadbir serta pengurusan dan kepimpinan profesional di setiap peringkat – dari kebangsaan, negeri, daerah dan sekolah.

Namun, Peter turut membangkitkan persoalan, bagaimana Jepun mendaki ke puncak tanpa
ada budaya bola sepak sebelum ini?

BERSAMBUNG