Desas-desus status kedudukan Datuk Misbun Sidek akhirnya terjawab apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi presiden, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, mengesahkan bahawa Misbun dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Remaja bermula 4 Februari lalu.

Kredibiliti Datuk Misbun Sidek sebagai jurulatih tidak boleh disangkal lagi setelah terbukti mampu membentuk serta melahirkan pemain perseorangan negara hingga menggegar dunia.

Antaranya Rashid Sidek, Roslin Hashim dan Datuk Lee Chong Wei. Mereka bukan hanya pemain terbaik negara suatu ketika dahulu tetapi pernah berada di puncak selaku pemain nombor satu dunia. Malah Hafiz Hashim ketika muncul juara Seluruh England pada tahun 2003 juga hasil bimbingan Misbun.

Pelantikan ini adalah langkah terbaik bagi mengembalikan kegemilangan badminton negara. Ia turut di sokong oleh Datuk Lee Chong Wei yang mana menerusi kenyataannya bahawa di mana sahaja Datuk Misbun berada, beliau adalah jurulatih terbaik.

Ini bermaksud, Misbun mempunyai keupayaan membentuk pemain muda yang lebih terarah kepada asas pemain sebelum memasuki kelompok pemain senior. Jika asas seseorang pemain kukuh, maka mudah dalam memperkemaskan aspek teknikal serta taktikal pemain.

Selain itu, kehadiran Datuk Misbun sebagai pengarah pembangunan remaja kebangsaan pastinya memberikan manfaat buat semua jurulatih untuk menimba ilmu serta berganding bahu dalam misi meningkatkan prestasi barisan pemain remaja negara.

Situasi ini turut mengingatkan saya kisah lama. Kisah ini berlaku sekitar tahun 2001 yang mana ketika itu saya masih bergelar atlet sepak takraw bersama dengan skuad pelapis negara dan dibimbing oleh jurulatih dari Thailand, Chakri Kedet. Coach Chakri sangat mengagumi Misbun Sidek dan sentiasa berkongsi pendapat walaupun berlainan sukan.

Saya masih ingat apa yang dikatakan oleh coach Chakri bahawa ‘Misbun sangat istimewa’ kerana pendekatannya luar biasa. Misbun bukan hanya mampu melatih dari aspek fizikal, teknikal dan taktikal tetapi beliau mampu membentuk dan melengkapkan pemain dengan aspek psikologi yang merupakan antara elemen penting bagi melahirkan pemain terbaik dunia dan yang paling penting ialah Misbun tidak lokek ilmu untuk berkongsi.

Kini hanya terpulang kepada pemain. Mereka harus mengambil peluang terbaik ini dan bersedia untuk berubah bagi menerima pendekatan baru. Jika Misbun mempunyai impian mahu lahirkan seorang bintang, tetapi mungkin ia tidak tercapai jika tiada kerjasama dari pemain.

Ayuh pemain muda negara, bangkit dan sahut cabaran ini. Buktikan anda juga mampu menjadi pemain nombor satu dunia suatu hari nanti.