Kira-kira 12 bulan sudah berlalu sejak ramai yang ternanti-nantikan proses merekayasa Wayne Rooney selaku pemain tengah bertahan ketika berdepan Russia dalam Euro 2016 sebagai talian hayat England dalam kempen berkenaan.

Pada usia 30 tahun ketika itu dan sarat dengan pengalaman, dia dicadangkan sebagai paksi buat pemain-pemain muda England hingga membangkitkan rasa teruja pengurus, Roy Hodgson, untuk mara jauh dalam kempen di Perancis itu.

Sebaliknya, apa yang berlaku ialah merudumnya prestasi Rooney yang menghumbannya ke lembah ketidaktentuan, termasuk dalam kempen Liga Perdana Inggeris yang menyusul – mengatasi segala igauan buruk yang pernah dialami sepanjang hayatnya.

Hujung minggu lalu menyaksikan dia membawa diri bersama keluarga untuk bercuti di sebuah kepulauan Greek, Mykonos, sambil tercongak-congak masa depannya setelah digantikan selaku kapten England oleh Harry Kane, tersisih daripada pasukan kebangsaan dan terdampar di sebuah pulau tanpa sebarang tawaran daripada mana-mana kelab untuk membelinya.

Di sebalik ia dijangkakan pertengahan Jun akan menyusulnya satu pengumuman mengenai haluan berikut buatnya, masih tiada sebarang tawaran konkrit buat pemain berusia 31 tahun itu.

Prospek yang semakin jelas kini ialah Rooney akan terus memanaskan bangku pemain simpanan pada tahun terakhir kontraknya bersama Manchester United – dengan gaji £250,000 (RM1.35 juta) seminggu – sambil Jose Mourinho berkira-kira untuk membuat pembelian baru bagi memantapkan barisan serangan pasukan.

‘The Special One’ bersungguh-sungguh mahu mendapatkan penyerang antarabangsa Sepanyol, Alvaro Morata, dari kelab pemenang Liga Juara-Juara, Real Madrid, sambil United bersiap-siap untuk memuncakkan cabarannya dalam saingan elit Eropah itu musim depan.

Menyusuli tawaran pembukaan £65 juta (RM351 juta) buat Morata bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zlatan Ibrahimovic, United dikhabarkan telah menawarkan pakej terbaik buat pemain berusia 24 tahun itu yang semakin tenggelam dalam perebutan tempat kesebelasan utama Los Blancos.

Morata tidak pun menyembunyikan hakikat dia mahukan peranan lebih besar selepas bertahun-tahun sekadar menjadi pemain pelapis bersama Real dan Juventus, dengan Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema terus menjadi bintang utama di Santiago Bernabeu.

Ketaksuban Mourinho untuk mendapatkan tandatangan pemain itu – selepas kegagalan memikat Antoine Griezmann dari Atletico Madrid ke Old Trafford – mengesahkan kebimbangan Rooney selama berbulan-bulan kini bahawa hari-harinya di United sudah berakhir.

Harus dia sekadar dapat mengharapkan dia masih semuda Marcus Rashford dan Anthony Martial pada ketika kehadiran pemain seperti Paul Pogba dan Ander Herrera akan menutup terus saki-baki peluang buatnya.

Rooney telah berikrar untuk kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris, dengan bekas kelabnya, Everton, satu-satunya pilihan kecuali gaji besarnya yang menjadi halangan utama.

Namun, sukar untuk melihat kelab biru Merseyside itu bersedia untuk menawarkan sekalipun £100,000 (RM540,000) seminggu sedangkan Romelu Lukaku yang dibayar gaji tertinggi di Everton hanya membawa pulang £70,000 (RM378,000) seminggu.

Perpindahannya ke Everton mungkin dipermudahkan sebagai sebahagian pakej pertukaran dengan Lukaku ke United tetapi penyerang antarabangsa Belgium itu sendiri lebih cenderung untuk menyertai Antonio Conte di Chelsea – Rooney seakan-akan menemui jalan mati.

Sebelum perlawanan menentang Russia dalam Euro 2016 itu, seorang wartawan memaklumkan Rooney bahawa pendapat ramai dalam pasukan lawan itu ialah dia bukan lagi pemain sehebat beberapa tahun lalu.

Dia menawarkan jawapan dengan sopan: “Semua orang yang menonton bola sepak berhak dengan pendapat masing-masing. Saya tahu kualiti yang saya miliki dan saya tidak perlu duduk di sini unuk mempertahankan diri saya terhadap pandangan sedemikian.”

Cuma, Rooney harus tidak menjangkakan tempoh suram 12 bulan berikut yang bakal dilaluinya.

(BERSAMBUNG)